KUALA LUMPUR - PRESTASI guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) berada pada tahap cemerlang dan memenuhi keperluan sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan maklum balas daripada pentadbir sekolah dari 2015 hingga 2019 mendapati peratus skor purata prestasi guru PISMP lepasan IPG bagi tempoh itu berada pada tahap 92 peratus ke atas.

"KPM (Kementerian Pendidikan) melaksanakan penilaian selepas setahun guru mengajar dengan mendapatkan maklum balas daripada pentadbir sekolah mengenai prestasi guru PISMP lepasan IPG, secara umumnya prestasi ini menunjukkan pentadbir sekolah berpuas hati dengan kualiti guru baharu lepasan IPG," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang meminta menteri pendidikan menyatakan apakah langkah dan inisiatif terkini pihak kementerian dalam menjaga dan mempertingkatkan kualiti PISMP supaya standard pengajaran guru-guru di sekolah sentiasa berada pada tahap cemerlang.

Mohd Radzi berkata, KPM sentiasa komited dalam memperkasakan pendidikan guru bagi melahirkan guru yang terlatih dan kompeten dengan memperkukuhkan program PISMP termasuk aspek pemilihan calon dan kurikulum.

Ini termasuklah bermula tahun 2013 calon PISMP dipilih dalam kalangan pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh minimum gred cemerlang dalam lima mata pelajaran termasuk memenuhi syarat pengkhususan bidang yang dimohon.

"Seterusnya semua calon yang memenuhi kelayakan akademik mengikut opsyen mata pelajaran perlu melepasi saringan ujian kelayakan calon guru (UKCG), calon yang melepasi UKCG akan dipanggil untuk temu duga. Secara keseluruhan calon dipilih berdasarkan merit markah yang diperoleh meliputi akademik, kurikulum dan prestasi temu duga," katanya.

Ini katanya jelas menunjukkan hanya pelajar yang terbaik dipilih untuk mengikuti PISMP.

Dalam aspek kurikulum pula, KPM katanya sentiasa berusaha memantapkan kualiti PISMP agar sejajar dengan keperluan pendidikan semasa dengan menyemak semula keseluruhan kurikulum perguruan setiap empat tahun.

Katanya semakan terkini telah dilaksanakan bermula tahun lepas dan dijangka selesai pada tahun 2021 dan kurikulum terbaharu ini akan digunakan pada Jun 2022.

Dalam pada itu, KPM juga mengadakan penambahbaikan untuk setiap bidang yang diajar mengambil kira perkembangan semasa sebagai contoh Dasar Pembelajaran Digital IPG diperkenalkan untuk melengkapkan pelajar bagi memenuhi keperluan revolusi industri 4.0.

"Bagi persediaan guru di sekolah, PISMP mewajibkan pelajar menjalani tiga kali Pengalaman Berdasarkan Sekolah (PBS) dan dua fasa praktikum masing-masing selama 12 minggu," katanya.

BERNAMA

Artikel menarik:

Sukar skor A subjek Sejarah SPM? Panduan menjawab kertas soalan berikut boleh anda ikuti

Skor A Matematik SPM. Calon SPM perlu fahami panduan menjawab soalan subjek itu