KUALA LUMPUR - Ibu bapa dan pelajar perlu bertenang dan tidak membuat andaian secara terburu-buru dalam isu dakwaan kebocoran beberapa kertas peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) baru-baru ini.

Wakil Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan (KPIBKK), Faizal Mohammad Arshad, berkata, ibu bapa tidak seharusnya terlalu beremosi, malah ada yang mendesak pihak sekolah untuk mengetahui kesahihan dakwaan itu hingga memberi tekanan kepada guru-guru.

Jelasnya, ibu bapa perlu bertenang kerana perkara itu masih lagi dalam siasatan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kesahihan dakwaan itu belum dapat dipastikan.

"Banyak perkara yang tidak betul disebarkan media sosial hingga ia menyebabkan ‘huru-hara’ yang secara langsung akan memberi kesan emosi dan tekanan kepada pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar.

"Jika ibu bapa terus mendesak, secara tidak langsung motivasi guru-guru yang mendidik juga akan terganggu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan berlakunya kebocoran kertas soalan Bahasa Inggeris dan Matematik PT3 yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp, namun ia disangkal KPM.

Malahan, kementerian itu turut menafikan dakwaan bahawa kertas Bahasa Inggeris PT3 akan diulangi pada 10 Okt ini seperti yang tersebar.

Semalam, KPM, dalam kenyataan, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu menjalankan siasatan terhadap dakwaan kertas soalan PT3 bocor seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

KPM berkata individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran kertas soalan itu boleh diambil tindakan memandangkan kertas itu adalah dokumen terperingkat terhad.

Dalam pada itu, Faizal berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing perlu memainkan peranan mereka membantu meredakan keresahan ibu bapa.

PIBG, katanya, adalah persatuan yang dianggotai ibu bapa dan guru-guru dan berperanan sebagai medium terbaik dalam memberi penerangan dan nasihat bagi memastikan isu itu tidak menganggu fokus utama anak-anak mereka dalam menduduki peperiksaan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang pula berkata, semua pihak perlu meletakkan kepercayaan kepada KPM dalam menyelesaikan isu itu

"Apa-apa hal berlaku, kita kena tetapkan kiblat (kepercayaan) kita dengan apa yang kementerian nyatakan.

"Kalau ada tohmahan yang menyatakan itu (kertas PT3) bocor, ini bocor, kita tidak boleh terima selagi tidak ada kenyataan rasmi daripada KPM,” katanya.

Sementara itu, Bernama turut cuba mendapatkan maklum balas daripada Lembaga Peperiksaan KPM tentang status terbaru isu itu.

Pengarahnya, Adzman Talib ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp berkata, pihaknya sedang mencari maklumat sebelum memberi penjelasan.

"Pegawai saya dan UKK (Unit Komunikasi Korporat KPM) sedang sediakan maklumat untuk memperjelaskan perkara ini kepada media. Dengan segera akan diberikan nanti,” katanya ringkas. - Bernama

Artikel menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Pematuhan Prosedur Operasi Standard Pengurusan dan Pentadbiran Pentaksiran Tingkatan 3

Guru perlu siap sedia untuk hadapi cabaran VUCA

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal