KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan sekolah diingatkan agar mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan tidak mengubah atau meminda lagu Kebangsaan Negaraku dalam apa-apa bentuk semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, pihak sekolah perlu sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara-perkara asas terhadap lambang-lambang negara.

Ini, katanya, termasuk lagu kebangsaan Negaraku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah agar tidak disalah anggap mana-mana pihak.

Mengenai penularan video murid sekolah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Mandarin, Amin berkata hasil siasatan mendapati ia berlaku ketika sesi PdP dengan tujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

"Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat lalu.

Video berdurasi satu minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 September, 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain