KUALA LUMPUR - Berpunca daripada masalah jerebu yang melanda negara baru-baru ini, mencetuskan idea kepada sekumpulan pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Nilai, Negeri Sembilan, untuk menghasilkan aplikasi ‘Earthy Us’ yang memudahkan carian info, serta data terkini mengenai alam sekitar.

Nazaratul Naim Mohd Azli, Zarith Hani Muhammad Zairi dan Nur Aliah Ardini Ahmad Fairus memperkenalkan aplikasi itu dalam pertandingan tahunan Hackathon Data Terbuka 2019, yang berlangsung dari 3-12 September, dalam kategori sekolah menengah yang disertai 84 peserta, tahun ini.

"Ketika tercetusnya idea untuk buat aplikasi ini, mula-mula kami sedar negara hadapi masalah jerebu dan juga kami buat penilaian berkenaan krisis alam sekitar semua tu, jadi kami bagi penyelesaian dengan mencipta aplikasi yang boleh menghubungkan masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti alam sekitar,” kata ketua kumpulan ‘Mac N Cheese’ Nazaratul Naim Mohd Azli.

Hari ini ketiga-tiga mereka menerima anugerah bagi ciptaan mereka itu dalam majlis Public Sector CIO Convex (PSCC) 2019 di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, semalam.

Minat dan kesungguhan tiga anak muda berusia 16 tahun yang disertakan dengan dorongan dan bimbingan guru dan mentor, mereka berjaya menyiapkan aplikasi itu dalam tempoh seminggu sahaja, dengan mengetengahkan beberapa elemen antaranya berita, data statistik dan tutorial video.

"Jadi aplikasi kami, kita ada beberapa ciri iaitu berita dan kami sediakan statistik, data semua tu, berkenaan pencemaran alam sekitar dan kami ada ciri yang boleh tunjukkan pusat kitar semula terdekat. Dan kami juga letakkan ciri seperti video tutorial bagaimana menghadapi bencana dan bagaimana untuk mengelakkan pencemaran,” katanya.

Tambahnya, cubaan buat pertama kali itu membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai pemenang kedua sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 serta sijil penghargaan daripada  Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Beliau berharap aplikasi yang mereka cipta itu dapat membantu orang ramai dalam mengurangkan kadar pencemaran dalam negara melalui teknologi yang kini ternyata memudahkan semua pengguna dalam mendapatkan maklumat dengan begitu pantas.

"Buat masa ini kami belum tetapkan untuk android atau ios. Pada masa ini kami hanya buat dan persembahkan, kalau ada kesempatan kami akan cuba pasarkan untuk ios dan android. Buat masa ini, kami akan cuba mulakan secara kecil-kecilan di sekolah kami,” katanya.

Hackathon merupakan pertandingan tahunan anjuran MAMPU, tahun ini melibatkan tiga kategori iaitu industri/universiti, sektor awam, dan pelajar sekolah menengah.

Dengan tema "Innovation for Well Being" Hackathon Data Terbuka tahun ini mensyaratkan supaya produk data atau aplikasi yang dihasilkan dijajarkan dengan mana-mana 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Peserta pertandingan hackathon tahun ini diberi masa 240 jam bersamaan 10 hari untuk menghasilkan produk data atau aplikasi berkualiti dan menyokong matlamat SDG dalam meningkatkan ekonomi negara, kesejahteraan sosial dan pemuliharaan alam sekitar. - Bernama

Artikel Menarik:

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik

'Wah kemasnya almari kamu!' - Guru ini latih murid seawal tahun dua berdikari

Enam teknik mudah untuk pelajar skor A Matematik - Calon SPM pun boleh guna cara ini