KUALA LUMPUR - Pelajar kolej automotif dan penyelenggaraan pesawat, Kolej Despark bertuah apabila dapat mendengar sendiri pengalaman yang dikongsikan Jurutera Bendalir Litar Lumba PETRONAS, En De Liow, di sini, baru-baru ini.

Liow yang turut berperanan sebagai sokongan teknikal kepada pasukan lumba Mercedes-AMG PETRONAS F1 yang telah memenangi F1 World Constructor's Championship kali ketujuh, baru-baru ini, berkongsi pengalaman itu dalam sesi temu bual santai bersama 200 pelajar kolej berkenaan.

Program yang dianjurkan PETRONAS Lubricants International dengan kerjasama pasukan lumba Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1) itu bertujuan memupuk semangat dalam diri graduan sekali gus merapatkan jurang pengetahuan dengan memberikan pendedahan dan gambaran sebenar mengenai kerjaya dalam industri berkenaan.

Melalui sesi bicara santai itu, para pelajar mendapat gambaran jelas mengenai industri automotif melalui perkongsian pengalaman Liow sebagai Jurutera Bendalir Litar Lumba PETRONAS dan individu yang terbabit dalam aspek teknikal bagi pasukan lumba Mercedes-AMG PETRONAS F1 

Selain itu, beliau juga turut menganalisis bahan api Primax, minyak enjin Syntium dan bendalir fungsi Tutela yang digunakan dalam kereta F1 sebelum dan selepas perlumbaan bagi memastikan keadaan kereta berfungsi pada tahap optimum.

Liow berkata, beliau bersyukur apabila dapat menjadi sebahagian daripada anggota pasukan lumba Mercedes-AMG PETRONAS F1. 

"Pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Harapan saya adalah untuk berkongsi, memberi inspirasi dan memperkasakan bakat-bakat muda khususnya bagi mereka yang meminati dunia automotif.  

"Saya mahu mereka terus mengejar impian dan berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan bakat mereka ke arah cita-cita mereka" ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Asia, PETRONAS Lubricants International, Giuseppe Pedretti, berkata sebagai sebuah organisasi, pihaknya mahu membantu para pelajar dan profesional muda mengasah bakat yang ada pada diri masing-masing. 

"Selain membangunkan teknologi bendalir yang termaju untuk rakan lumba dan pengguna, kami percaya dengan memberi pendedahan kepada generasi akan datang terhadap gambaran dan perspektif industri yang sebenar.

"Usaha ini diharap dapat memberi pengetahuan kepada pelajar yang mempunyai cita-cita untuk menjadi peserta utama dalam industri ini di masa akan datang, " kata beliau.

Sejak kemunculan krisis kesihatan global, para pelajar kolej dan universiti di Malaysia terpaksa menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian selama lebih setahun. 

Keadaan ini memberikan cabaran besar kepada pelajar terutamanya bagi mereka yang menuntut di sekolah- sekolah vokasional yang melibatkan latihan kemahiran secara amali.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kolej Despark, Ahmad Firdaus Mansor, berkata keselamatan dan kemajuan pembelajaran para pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak kolej. 

"Kami menghargai peluang kerjasama ini yang secara khususnya memberi kebaikan kepada para pelajar dan industri ini. 

"Kami mahu memastikan mereka dapat dibimbing menjadi graduan yang bersedia untuk memenuhi keperluan industri dengan adanya pemahaman yang cukup mengenai industri automotif ini," katanya.

Artikel menarik