KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di Jalan Kampung Pandan di sini berjaya merangkul Anugerah Hijau 2019 menerusi projek kebun mini mampan dengan menggunakan bahan kitar semula bagi menghasilkan pelbagai jenis sayuran.

Guru Kelab Sains dan Teknologi sekolah berkenaan, Mardiah Ab Latiff, berkata projek yang dimulakan sejak awal tahun ini berjaya menjana pendapatan bagi disalurkan kepada tabung kebajikan asrama sekolah tersebut.

Menurutnya, ​​​​​​​mulakan ia hanyalah sebuah tapak integrasi yang telah diabaikan sejak 2015 sebelum 'dihidupkan' semula menjadi kebun mini untuk tanaman pokok dan sayur-sayuran. 

"Kami menggunakan botol-botol plastik, sabun dan bahan-bahan kitar semula yang lain untuk membentuk taman ekologi itu selain mewujudkan sudut hidroponik di kebun itu yang mana ikan-ikan turut ditempatkan dalam bekas bagi menjana baja melalui najisnya. 

"Tumbuh-tumbuhan dan sayuran hasil hidroponik itu didapati lebih subur daripada ditanam di tanah dan hasil penjualannya kami salurkan kepada tabung kebajikan asrama sekolah," katanya kepada Bernama semalam. 

Mardiah berkata, selain itu, warga sekolah itu juga turut berusaha mengumpul sisa-sisa makanan daripada kantin dan asrama menerusi program 'compose' bagi menjadikannya sebagai baja tanaman. 

"Setiap sisa makanan yang dikumpul sama ada dari kantin ataupun guru-guru dan pelajar-pelajar dibawa dari rumah akan diasingkan mengikut kategori dan ia akan disimpan dalam bekas sehingga menjadi baja.

"Kami turut menggalakkan setiap guru dan pelajar membawa barang-barang kitar semula pada setiap hari Rabu untuk dijual kepada pihak luar pada hari berikutnya dan pelajar akan diberi sijil dan sedikit wang hasil penjualan barang-barang itu," katanya. 

Anugerah Hijau anjuran Eco Knight dengan kerjasama Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan ERE Consulting disampaikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Lembangan Sungai JPS, Md Khairi Selamat. 

Menurut Pengasas Eco Knights, Yasmin Rashid, anugerah itu adalah pertandingan tahunan yang memberi platform kepada generasi muda mempamerkan kreativiti mereka dalam pengurusan sampah di sekolah. 

"Ia merupakan salah satu inisiatif di bawah projek 'River of Life' yang turut memupuk kesedaran mereka terhadap pemuliharaan sungai dan penjagaan alam sekitar," katanya. 

Katanya, terdapat dua kategori yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu 'Aktif Sepenuhnya' menfokuskan tindakan pengurusan sisa dengan komuniti sekolah, serta 'Sememangnya Kreatif' iaitu penghasilan dokumentari pendek dalam menerokai kepentingan sungai.  

"Kami menerima kira-kira 100 penyertaan daripada 19 buah sekolah sekitar Lembah Klang sejak Mei lalu dan 10 daripadanya telah terpilih sebagai finalis Anugerah Hijau 2019," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

'Eh, betul ke SMK Saujana Utama? Saya salah sekolah ni' - Misi kejutan untuk pengetua berjaya!

'Mak, lepas balik New Zealand ni ingat nak duduk rumah baru' - Kata terakhir Cikgu Anita buat ibu

'Pak Din 'trending' di Twitter' - Ini jawapan pengetua SMK Convent Bukit Nanas

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik

Merabung 'River Trekking' beri pengalaman luar biasa buat cikgu-cikgu SMK Madai