KUALA LUMPUR - Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Putrajaya menggesa Kementerian Pendidikan mengenal pasti kekangan yang berlaku di sekolah sebelum menzahirkan dan melaksanakan sebarang cadangan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Suhaimi Saad berkata, pihaknya bersetuju dengan keprihatinan kementerian yang menasihatkan guru besar dan pengetua menilai semula agihan tugas supaya guru di sekolah tidak terbeban dengan kerja-kerja pentadbiran.
“Jika perkara (kerja-kerja pentadbiran) ini dapat diselesaikan pada kadar segera, ia bukan sahaja memberi kelegaan kepada guru, malah ibu bapa juga gembira kerana proses pembelajaran anak-anak akan meningkat.
“Namun, masalah ini tidak akan selesai sekiranya kakitangan penyelenggaraan termasuk kerani di sekolah tidak mencukupi sehingga guru terpaksa melakukan kerja
menyediakan surat, dokumentasi dan fotostat,” katanya, semalam.
Selain itu, Suhaimi berkata, jumlah kakitangan penyelenggaraan di beberapa buah sekolah terpaksa dikurangkan dipercayai bagi mengurangkan kos perbelanjaan.
“Saya difahamkan daripada tujuh staf, akan dikekalkan antara tiga dan empat orang.
“Jika situasi ini berlaku, bagaimana pihak sekolah ingin merealisasikan matlamat Kementerian Pendidikan? Akhirnya, guru yang terpaksa memikul beban ini,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: NUTP tidak mahu masyarakat label guru malas, lari daripada tugas]
[ARTIKEL BERKAITAN: Beri sedikit masa kepada pengetua, guru besar sesuaikan kaedah baharu]