KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 agenda yang diperjuangkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) direalisasikan dan diangkat menjadi agenda nasional sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, perkara itu pastinya akan membolehkan martabat mahasiswa diangkat ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus memperkasakan lagi mahasiswa.

"MPPK amat menghargai usaha dan kerjasama yang telah diberikan oleh kerajaan kepada MPPK selama ini. Ia menunjukkan bahawa kerajaan hari ini sememangnya mengambil berat tentang keperluan dan kebajikan mahasiswa.

"MPPK juga ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dibawah pimpinan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana telah berusaha untuk menjayakan 11 agenda yang diperjuangkan oleh MPPK selama ini sehingga telah diangkat menjadi agenda nasional, katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

11 agenda yang dibentangkan KPT dalam Mesyuarat Perdana MPPK 2021 itu merangkumi  Rumah Sewa Siswa, Kad Prihatin Siswa, Memperkasa Biasiswa MyBrain, Yayasan Kebajikan Mahasiswa dan Penubuhan Jawatankuasa Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, Modul Kepimpinan Mahasiswa Nasional (LAKSAMANA), Pemerkasaan Pilihan Raya Kampus, Menaiktaraf Kualiti Capaian Internet, Mengembalikan Parlimen Mahasiswa Malaysia, Skim Latihan Graduan Nasional dan Memartabat Mahasiswa Malaysia turut dimuatkan sebagai agenda yang dibentang dalam mesyuarat perdana itu.

Mesyuarat Perdana MPPK 2021 dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan secara maya, kelmarin.

Mesyuarat turut dihadiri oleh menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua pengarah, pengurusan tertinggi kementerian, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan serta seluruh ahli MPPK.

Muhammad Amir Asyraf berkata, Muhyiddin selaku pengerusi juga telah membentangkan tiga kertas pertimbangan dalam mesyuarat itu.

“Kertas pertimbangan tersebut merangkumi Skim Rumah Sewa Rakyat (RASIONAL), Pemerkasaan Sektor Pertanian Dalam Negara:Future Proofing Industri Pertanian Malaysia dan Integrasi Teknologi Bagi Penambahbaikan Pengurusan Kesihatan Rakyat Malaysia (S.I.H.A.T).

“Beberapa isu lain turut dibangkitkan dalam mesyuarat kali ini iaitu mengenai pendigitalan pendidikan, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), kos sara hidup serta vaksin Covid-19 untuk mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata,  hampir kesemua isu telah mendapat maklum balas yang baik dan reaksi yang positif daripada pihak kerajaan.

"Harapan kami adalah kerjasama yang utuh antara mahasiswa dengan pihak kerajaan ketika ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

"Ini kerana pendekatan rasional dan secara diplomasi adalah yang terbaik untuk kemaslahatan semua pihak dan juga demi keutamaan kebajikan serta pembangunan mahasiswa yang menjadi teras dalam perjuangan MPPK," katanya.

Artikel menarik

Ibu bapa boleh ikut cara ini untuk bantu anak Tahun 6 kuasai Matematik di rumah. Mudah sangat!

Jadilah waris yang bertanggungjawab, jangan hantar anak ke sekolah jika waris ada gejala Covid-19