KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM), melalui pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan berbincang bersama pihak berkaitan jika terdapat keperluan menutup sekolah bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) di kawasan yang terlibat.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, di peringkat negeri, KPM akan memantau perkembangan sesi persekolahan melalui JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengarah JPN ialah ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Selepas pengumuman pelaksanaan kawalan pergerakan antara bahagian di negeri Sarawak pada 29 Julai lalu, JPBN Sarawak dengan persetujuan KPM telah memutuskan untuk menangguh pembukaan semula 213 sekolah di daerah Kuching.

“Ini melibatkan 87 sekolah di bawah PPD Kuching, 99 sekolah (PPD Padawan), dan 27 sekolah (PPD Samarahan). Pembukaan semula sekolah yang diumumkan pada 3 Ogos lalu telah ditangguh ke 17 Ogos.

“Bagaimanapun, kelas bagi prasekolah, Tingkatan Lima dan Enam beroperasi seperti biasa di ketiga-tiga PPD tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini semalam.

Bagi negeri Kedah pula, Radzi berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba, Mukim Binjal dan Mukim Padang Serai bermula 2 Ogos.

Berikutan itu, beliau berkata, JPBN Kedah dengan persetujuan KPM telah memutuskan untuk menutup empat sekolah di bawah PPD Kubang Pasu, sebuah sekolah di PPD Padang Terap bermula 2 Ogos hingga 29 Ogos.

Menjawab soalan tambahan Nie Ching sekiranya KPM bercadang menutup sekolah di Sabah susulan terdapat kes positif dalam kalangan murid di negeri itu, Radzi berkata, perkara itu akan dilihat mengikut kes.

“Jika ada keperluan untuk menutup sekolah tersebut, kami di KPM, berdasarkan nasihat daripada profesional di Kementerian Kesihatan dan MKN serta kerajaan negeri akan berbincang dan kita bersedia untuk tutup sekolah.

“Setiap kes yang berlaku berbeza seperti di Sarawak banyak sekolah dengan lebih 200 sekolah ditutup tetapi di Kedah kita tutup lima sekolah berdasarkan kes yang ada dan berdasarkan risiko dan cara menangani risiko tersebut,” katanya.

Bernama