KUALA LUMPUR - Saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dikaji oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

KPM dalam satu kenyataan menyebut bahawa sambil mengambil baik saranan itu, kajian yang dilakukan akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaannya.

"Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah perkara yang baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

"Walaupun KPM telah memansuhkannya secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2012, namun Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016 tetap memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Sehingga Januari 2020, sebanyak 2,292 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan DLP," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Dr Mahathir merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah menyatakan pandangan beliau berhubung kepentingan murid mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pandangan itu dilontarkan Dr Mahathir dalam sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPM pada 30 Jan 2020.

"Dr Mahathir berpendirian bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah amat penting kerana pengetahuan serta bahan rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris,” menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir hari ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan masih menimbang sama ada untuk melaksanakan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. - Bernama

Artikel Menarik:

Usaha guru ini cipta konsep pusat sumber DIY tarik minat pelajar ke PSS

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Menusuk kalbu doa habis kelas.. ustazah ini kongsi kuasai hati, minda. Murid pun seronok!

Seronok cikgu dengan baju batik pun siap menari pusing-pusing lagi

'Saya terpaksa tinggalkan kamu semua...maafkan cikgu, maafkan cikgu'