KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menyarankan pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) khususnya wanita mengambil kursus berkaitan kejurulatihan atau sains sukan sebelum tamat pengajian bagi menampung kekurangan jurulatih wanita di sekolah.

Ketua Penolong Pengarah Unit Kejurulatihan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) V Muraleedharan berkata kekurangan jurulatih wanita di sekolah agak ketara dan ia secara tidak langsung menyebabkan murid perempuan kurang meminati bidang sukan.

"Kita akan cuba cadangkan untuk pelatih IPG mengambil sijil kejurulatihan semasa pengajian supaya apabila mereka kembali ke sekolah nanti boleh menggunakan kepakaran ini untuk melatih atlet atau murid-murid di sekolah.

Beliau ditemui Bernama selepas sesi pembentangan 'Pembangunan Bakat Sukan dalam Kalangan Pelajar Perempuan di Malaysia' pada persidangan meja bulat 'Pemerkasaan Wanita Dalam Sukan di Malaysia' di sini hari ini.

Menurut Muraleedharan, dengan langkah ini, ia juga dapat membuka mata pelajar serta ibu bapa mereka bahawa kerjaya dalam bidang sukan tidak hanya tertumpu sebagai menjadi atlet semata-mata.

"Kita perlu bantu membetulkan persepsi ibu bapa bahawa sukan tiada masa depan adalah salah, kerana sekarang sukan boleh menjadi bidang pekerjaan kerana sudah banyak cabang.

"Bukan hanya menjadi atlet tetapi juga jurulatih, ahli fisioterapi, pengetahuan dan kemahiran mengenai kelengkapan sukan boleh bantu mereka untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan sebagainya," katanya.

Pada sesi pembentangan hari ini, Muraleedharan berkata inisiatif atau cadangan untuk memperkasa guru pelatih wanita dalam bidang sukan adalah dengan menggalakkan mereka mengikuti kursus sains sukan tahap 1 dan kursus sukan spesifik tahap 1 sebelum tamat pengajian.

Katanya daripada 100 kekosongan jawatan, hanya 68 berjaya diisi untuk jurulatih sepenuh masa di sekolah Sukan Negeri dan daripada jumlah itu, hanya enam adalah jurulatih wanita.

"Jumlah jurulatih wanita yang kurang ini bukan sebab tidak dipilih tetapi tidak ada permohonan daripada kaum wanita untuk menjadi jurulatih dan jurulatih wanita ini hanya dalam sukan bola jaring, memanah dan hoki… itupun di beberapa tempat sahaja," katanya.

Persidangan Meja Bulat 'Pemerkasaan Wanita Dalam Sukan di Malaysia' anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dihadiri pembuat polisi, penggiat sukan tanah air, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, individu dan pelajar sekolah.

Objektif persidangan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan cadangan bagi memastikan golongan wanita diberi peluang sama dalam galakan serta aktiviti bersukan.- Bernama

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020