KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan sentiasa membuat semakan semula terhadap sukatan pelajaran untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, selain memastikan ia setanding dengan kualiti sekolah antarabangsa.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan sekolah antarabangsa untuk meningkatkan kemahiran guru terutama dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Salah satu kekuatan mereka adalah guru bahasa Inggeris, jadi salah satu kerjasama yang kita lakukan ialah membantu guru Bahasa Inggeris kita meningkatkan tahap penguasaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung jumlah pelajar tempatan ‘meninggalkan’ kurikulum pendidikan kebangsaan dengan memilih sekolah antarabangsa, meningkat setiap tahun.

Teo berkata pihaknya juga terbuka dengan sebarang cadangan demi menyediakan yang terbaik untuk pelajar.

Dalam perkembangan lain, mengenai isu pemansuhan aliran sains dan sastera bagi pelajar tingkatan empat pada 2020, Teo berkata kementerian telah mengeluarkan surat kepada semua sekolah untuk  menjelaskan perkara itu.

"Kita tidak kata semua sekolah harus menghentikan (aliran sains dan sastera), tetapi kita galakkan sekolah untuk menjelaskan (kepada pelajar) bahawa kita ada pelbagai pakej, contohnya pakej Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada bulan lepas dilaporkan berkata kementeriannya belum memutuskan pelaksanaan pemansuhan tersebut dan ia masih dalam peringkat kajian. - Bernama

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020