KUALA LUMPUR - Laporan lengkap Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) berhubung pengiktirafan sijil itu dijangka diserah kepada Kementerian Pendidikan selewat-lewatnya hujung tahun ini sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk keputusan akhir.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pasukan itu kini dalam proses akhir menyiapkan laporan kajian berhubung pengiktirafan sijil berkenaan.

"Laporan akan disusun bersama lampiran termasuk transkrip setiap temubual yang telah dilakukan. Setakat ini, pasukan itu telah berjaya menyiapkan 38 sesi transkrip daripada 48 sesi rakaman yang ada.

"Transkrip setiap temubual adalah elemen penting dalam laporan itu, demi berlaku adil kepada semua pihak yang telah mengemukakan pandangan,” katanya dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang ingin tahu bila hasil kajian PPDUEC akan dibentangkan dan sejauh mana ia akan mempengaruhi sistem persekolahan negara pada masa akan datang.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Maszlee berkata dasar PPDEUC adalah melakukan proses libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapat pandangan dan cadangan dari pelbagai aspek sebelum memuktamadkan isu ini.

"Pasukan petugas ini telah jalankan proses libat urus dengan pelbagai pihak termasuk 17 tokoh bidang pendidikan politik sosial, 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), lima parti politik serta 14 institusi pengajian tinggi awam bagi memastikan pengiktirafan sijil UEC bersifat menyeluruh.

"Selain itu, dua siri townhall juga telah dilakukan dengan penglibatan golongan belia bagi mendapat pandangan mereka serta menjemput beberapa Ahli Parlimen beri pandangan berkaitan isu ini. Keseluruhan pihak yang beri pandangan dan sumbang saran seramai 406 orang,” katanya.

Sementara itu, Maszlee berkata kementerian komited untuk memastikan pelajar mendapatkan pendidikan sama ada di sekolah kerajaan atau swasta, dan akta bahasa kebangsaan, perlembagaan negara dan perpaduan sentiasa menjadi keutamaan.

"Kementerian percaya kepada pendemokrasian pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu usaha kementerian dalam memastikan ibu bapa memilih sekolah kerajaan sebagai pilihan utama menghantar anak mereka. - Bernama

Artikel lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Kadar baharu yuran permit guru swasta tahun depan - KPM

Guru perlu saling menyokong antara satu sama lain, sentiasa perbaiki diri dan hasilkan inovasi