KUALA LUMPUR - Sebanyak 2.699 juta sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dilaksanakan membabitkan guru dan murid sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara sepanjang tempoh 17 hingga 30 Nov lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata daripada jumlah itu, 64 peratus merupakan PdPR secara dalam talian, 17 peratus luar talian manakala 19 peratus gabungan kedua-dua kaedah tersebut.

‘’PdP (pengajaran dan pembelajaran) dalam talian telah membantu meningkatkan kemahiran dan kecekapan murid dalam penggunaan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi).

"Pembelajaran dalam talian juga membolehkan murid meneroka pelbagai kaedah dan pendekatan untuk mendapatkan maklumat selain mengaplikasi teori (pembelajaran) yang dipelajari,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Zaiedi Suhaili berhubung keberkesanan PdPR untuk tempoh November dan Disember tahun ini serta bagaimana kerajaan menangani kekangan akses Internet bagi pelajar yang tidak mempunyai peranti ICT terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Muslimin berkata, pendekatan pembelajaran secara dalam talian juga merupakan kaedah yang paling banyak digunakan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu mencecah sehingga 70.96 peratus.

Sehubungan itu katanya, KPM berusaha menyediakan kemudahan Internet dengan kelajuan antara 30Mbps dengan 100Mbps untuk 10,066 sekolah di seluruh negara sebagai usaha memantapkan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

‘’KPM juga sentiasa berusaha meningkatkan akses Internet dan pemilikan peranti oleh murid di sekolah seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"KPM sedang menyediakan capaian Internet melalui teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) berkelajuan 30Mbps bagi 141 sekolah KPM yang tidak mempunyai infrastuktur jalur lebar dan pemasangan VSAT dijangka siap pada Februari 2021,’’ katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Cikgu Pe Chey kongsi 5 tip yang perlu guru buat apabila EGtukar diluluskan...

Usaha bantu pelajar SPM terbalas, Cikgu Fana sebak, PTTI terima anugerah tertinggi