KUALA LUMPUR - Litar pintas di hadapan pintu masuk bilik asrama dipercayai menjadi punca dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abu Obaidat Mohamad berkata, perkara itu berkemungkinan berlaku kerana mayat-mayat pelajar dan guru tahfiz ditemukan di bahagian kiri dan kanan bilik asrama.

"Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada kawasan kebakaran.

"Selain itu, mangsa juga dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun, tingkap asrama tersebut dilengkapi jeriji menyukarkan mereka untuk keluar tambahan pula hanya terdapat satu pintu sahaja untuk keluar dan masuk dari bilik asrama tersebut.

Dalam kejadian itu, seramai 22 pelajar dan dua warden dilaporkan maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi tadi.