KUALA LUMPUR - Kaedah penandaan skrip mata pelajaran peperiksaan secara dalam talian diperkenalkan Lembaga Peperiksaan (LP) mulai tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, pelaksanaan kaedah tersebut  diyakini dapat mengurangkan beban guru pemeriksa.

Selain dilihat sangat signifikan dan tepat pada masa, bagi meningkatkan tahap kesahan serta kebolehpercayaan markah dan peperiksaan dikendalikan LP.

“Perubahan dilakukan LP itu akan meningkatkan kecekapan, memudahkan guru pemeriksa, tidak mengekang pergerakan mereka dan boleh memeriksa kertas pada bila-bila masa.

"Ia juga dapat mengurangkan bebanan guru terbabit sebagai petugas peperiksaan untuk menghadiri mesyuarat penyelarasan dan tempoh masa lama ketika cuti sekolah,”katanya ketika melancarkan Sistem Pengurusan Penandaan Skrip Dalam Talian (LP Skor), semalam.

 

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Peperiksaan LP, Adzman Talib.

LP Skor adalah sistem yang membolehkan pemeriksa melaksanakan proses penandaan skrip jawapan secara dalam talian menggunakan peranti elektronik seperti komputer dan tablet.

Skrip dari pusat peperiksaan akan dibawa ke gudang bagi proses pendigitalan, seterusnya melalui proses imbasan dan kawalan kualiti sebelum dimuat naik ke pelayan.

Kemudian skrip itu akan diagih kepada pemeriksa bagi proses penandaan.

Proses pengiraan dilaksanakan secara automatik oleh sistem.

Walaubagaimanapun, tambah beliau lagi, penjimatan kos boleh dibuat sekiranya dan masa akan berlaku dari aspek pengendalian mesyuarat di premis luar, penghantaran skrip, penyimpanan skrip yang sudah ditanda dan pelupusan.

Sementara itu, Adzman berkata, di peringkat permulaan, mata pelajaran terbabit dalam proses penandaan dalam talian ialah semua kertas peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kertas Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan dan lima mata pelajaran elektif SPM.

Pihaknya menjangkakan pada 2025, semua skrip jawapan peperiksaan akan terbabit dan ditanda mengikut kaedah baru itu.

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020