KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran menyediakan satu sistem penilaian khas bagi mengetahui tahap penguasaan bahasa Inggeris guru opsyen bahasa itu berbanding meminta mereka menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Prof Dr S. Ganakumaran berkata sistem penilaian itu perlu dilakukan secara menyeluruh dan berterusan, dengan KPM sebagai peneraju dalam membuat penilaian serta mungkin boleh dibantu oleh badan bukan kerajaan serta universiti awam dan swasta.

"Mungkin (boleh) menilai penggunaan bahasa Inggeris mereka (guru) dalam kelas, penggunaan bahasa mereka semasa buat persediaan mengajar, membuat penilaian (kertas peperiksaan) dan sebagainya...kena lihat penggunaan bahasa itu dalam situasi profesion tersebut.

"MUET bukanlah satu sistem atau cara yang sah untuk mengetahui kebolehan bahasa Inggeris seseorang guru itu...kita harus gunakan sistem lain," katanya ketika dihubungi Bernama kelmarin.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan agar guru opsyen bahasa Inggeris perlu menduduki MUET, sebaliknya meminta KPM supaya membuat kajian yang komprehensif punca sebenar kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Ia susulan satu pekeliling oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mengarahkan supaya  guru mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaan MUET bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan ‘Common European Framework of Reference for Languages (CEFR)’.

Mengambil positif terhadap tujuan pekeliling itu dikeluarkan, Ganakumaran bagaimanapun menjelaskan sekiranya guru diminta menduduki MUET, hasilnya tidaklah boleh dijadikan penanda aras yang tepat mengenai tahap kefasihan bahasa Inggeris guru-guru.

"MUET ini satu ujian bukan dibentuk untuk uji kefasihan bahasa Inggeris guru, ia satu ujian untuk pelajar bakal masuk universiti dan fokus ujian itu ialah kemahiran ilmiah yang harus digunakan pelajar apabila berada di universiti.

"Ada guru tidak fasih tapi pandai mengajar, mereka cari cara unik untuk mengajar, sebab itu ramai berpandangan walaupun fasih dalam bahasa itu penting, ia bukanlah satu-satunya perkara perlu dititikberatkan dalam isu peningkatan profesionalisme, ada perkara lain harus dilihat," katanya. - Bernama

Artikel lain:

Tulisan Dr Maszlee mengenai guru dan Hari Guru ini amat menyentuh hati

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan