KUALA LUMPUR - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan yang menasihatkan guru besar dan pengetua di negara ini menilai semula agihan tugas supaya guru tidak terbeban dengan kerja-kerja pentadbiran.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, tumpuan masa  guru seharusnya diberi keutamaan  kepada proses kemenjadian murid melalui sesi rundingan bersama murid dan ibu bapa.

“Langkah ini sebagai memenuhi aspirasi falsafah pendidikan negara, sekali gus membantu mengembalikan golongan guru sebagai superhero.

“Justeru, mereka (guru) tidak  sepatutnya terbeban dengan kerja kerani sehingga membantutkan  tugas hakiki seorang guru, mengajar dan mendidik,” katanya dalam
satu kenyataan, semalam.

Selain itu, beliau turut berharap pihak pentadbir melaksanakan  arahan kerja dengan mengambil  kira kesesuaian sekolah masing-masing tanpa mengorbankan aspek pembangunan manusiawi.

Sinar Harian melaporkan semalam, Kementerian Pendidikan menasihatkan seramai 10,500 guru besar dan pengetua di negara ini menilai semula agihan yang
diberikan kepada guru agar tidak membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru.

Ketua Pengarah Pendidikan,  Datuk Dr Amin Senin menjelaskan, daripada kajian yang dilakukan sebanyak 25 peratus beban tugas guru dikaitkan dengan cara agihan tugas pengetua dan guru besar.

Sementara itu di KOTA BHARU, Kesatuan Perkhidmatan  Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kelantan berharap saranan  Kementerian Pendidikan itu diambil serius oleh Jabatan Pendidikan negeri.

Pengerusinya, Johari Ahmed berkata, langkah itu amat  penting bagi memastikan suasana harmoni dapat diwujudkan di  sekolah sekali gus dapat merealisasikan misi dan visi pendidikan dengan cemerlang.

“Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan di peringkat kementerian. Terdapat sekolah  yang agihkan tugas tidak sama rata.

“Ada guru yang kurang tugas, ada guru terlebih tugas hingga  menjadi bebanan dan tidak keterlaluan  jika saya katakan ada yang berdepan masalah kesihatan sebab terlalu letih dan tertekan,” katanya.

Menurutnya, diakui guru yang terpilih untuk menerima  tugasan khas  adalah guru yang sangat  proaktif, rajin dan cekap, tetapi ia bukanlah alasan untuk  membebankan mereka dengan tugasan lain selain mencurahkan ilmu kepada anak didik.

Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju jika autonomi diberikan kepada sekolah kerana dengan  adanya autonomi, maka  sekolah akan lebih bebas dan cekap kerana mereka lebih mengetahui hal ehwal sekolah masing- masing.

“Dalam masa sama, beban tugas guru itu perlu dikaji dari masa ke masa agar dapat mencari jalan penyelesaiannya," kata beliau.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenal pasti kekangan guru di sekolah]

[ARTIKEL BERKAITAN: KPM nasihatkan guru besar, pengetua nilai semula agihan tugas agar guru tidak terbeban]

[ARTIKEL BERKAITAN: NUTP tidak mahu masyarakat label guru malas, lari daripada tugas]

[ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara Khas: Datuk Amin menjelaskan beberapa isu dan hala tuju pendidikan (Siri 1)]

[ARTIKEL BERKAITAN: Beri sedikit masa kepada pengetua, guru besar sesuaikan kaedah baharu]