KUALA LUMPUR - Sistem pendidikan nasional boleh diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19, namun menerusi pendekatan berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, ia dapat dilakukan dengan memberikan lebih kebebasan kepada pelajar untuk belajar mengikut kemampuan mereka, berpandukan kurikulum digital yang boleh diakses oleh ibu bapa.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata pendigitalan dalam bidang pendidikan mudah diperoleh berikutan banyak aplikasi sedia ada untuk menggantikan persekolahan secara konvensional kepada kelas dalam talian.

"Mekanik pendidikan anak-anak yang bermula dari rumah atau bekerja sambil menjaga anak kecil (susulan penutupan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak) masih tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jelasnya, dengan penutupan sebahagian besar sistem persekolahan, kebergantungan kepada sistem pendidikan untuk mengajar anak-anak kini telah beralih kepada ibu bapa.

"Masa yang diperuntukkan untuk mencari nafkah demi keluarga kini perlu dimanfaatkan semula dengan meneruskan proses pembelajaran kepada anak-anak,” katanya.

Madani berkata operasi pusat jagaan yang dihentikan sementara telah memaksa ibu menjalankan pelbagai tugas dalam suatu masa untuk menjaga anak-anak sambil menyiapkan tugasan daripada majikan.

Beliau menambah, ada pula yang berdepan situasi lebih sukar apabila perlu hadir ke tempat kerja tanpa jaminan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang sewajarnya, sekali gus menimbulkan kesukaran kepada kakitangan wanita yang terbeban dengan tanggung jawab terhadap rumah tangga.

"Dalam hal ini, perisian produktiviti mungkin dapat memberikan potensi penyelesaian sekiranya ia dapat diatur secara fleksibel untuk memenuhi pelbagai pola dan senario berdasarkan situasi yang dialami setiap keluarga,” katanya.

Menurut Madani, perisian pengurusan tugas dapat menetapkan jadual kerja yang kondusif antara majikan dan pekerja mengikut kesesuaian golongan pencari nafkah.

"Ini bererti, aplikasi ini boleh menjadualkan mesyuarat, pengurusan tugas dan aktviti berkaitan kerja mengikut kesesuaian masa ibu bekerja, apabila suami berada di rumah atau ketika anak yang lebih besar boleh menjaga adik-adik.

"Teknologi ini akan mengingatkan ibu bahawa ini adalah masa untuk menunaikan tugasan pejabat mereka,” katanya.

Secara kesimpulan, Madani berkata bagi memerangi pandemik ini, negara perlu mencari jalan untuk memanfaatkan norma baharu untuk kekal sihat, mampan dan relevan.

"Mengenai masa depan, satu daripada peranan utama MARii adalah menangani isu kehidupan dan sumber pendapatan menerusi pelaksanaan teknologi digital.

"Kami yakin teknologi dapat memberikan penyelesaian baharu untuk mengimbangkan keperluan fizikal, emosi dan ekonomi dan berharap menerima maklum balas rakyat untuk membangunkan penyelesaian baharu dalam menghadapi norma baharu ini,” katanya.

Pandangan Madani boleh dibaca di: https://www.bernama.com/en/thoughts/news.php?id=1842595 di ruangan Thoughts atau Tinta Minda bagi versi bahasa Melayu, ruang yang baru diperkenalkan www.bernama.com untuk golongan pakar dalam pelbagai bidang berkongsi pendapat dan idea mereka mengenai banyak topik dan isu semasa.

Artikel Berkaitan:

Pembelajaran maya adalah masa hadapan, PM rayu guru dalami kemahiran pengajaran online

Ucapan PM kepada guru ibarat nasihat seorang ayah

Enam guru yang namanya disebut-sebut PM, guru Malaysia paling hebat

'Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video' - Cikgu boleh cuba ni

Cikgu ini bimbing murid buat 30 projek Sains sepanjang PKP secara online