Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian pendidikan (KPM) menimbang semula cuti bersempena Hari Raya Aidiladha bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambutnya di kampung.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata ini kerana perayaan itu jatuh pada minggu persekolahan berikutan perubahan Takwim Persekolahan 2020.

NUTP mencadangkan agar diberi peruntukan cuti khas oleh Menteri pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 30 Julai dan cuti pelepasan oleh Pejabat Pendaftar Negeri pada 29 Julai dan 3 Ogos ini, katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya perkara itu akan memberi peluang orang ramai menyambutnya bersama sanak-saudara di kampung halaman.

"Orang ramai juga sebelum ini tidak berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan mereka sudah merancang untuk pulang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh semasa cuti penggal persekolahan berdasarkan takwim penggal persekolahan sebelum ini.

"Selain itu, perayaan hari raya bukan sahaja disambut oleh kaum Melayu malah turut diraikan oleh semua kaum di Malaysia,” katanya. - BERNAMA