KUALA LUMPUR - Jarang sekali kita melihat pelajar memberi salam sambil mencium tangan pengawal keselamatan di pintu sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan harian.

Namun, nilai murni itu dapat dilihat dipraktikkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan, Keningau, Sabah.

Rakaman video yang ditularkan oleh seorang pemandu lori Azwan Mahmin, 39, di laman media sosial mendapat sambutan positif pihak warganet, termasuk Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee dalam akaun Twitternya yang memuji pelajar-pelajar SK Luagan itu berkata budaya menghormati perlu diterapkan kepada anak-anak.

"Sekolah sememangnya harus berfungsi sebagai satu platform pendidikan yang memupuk budaya hormat-menghormati,” katanya.

Video berdurasi 41 saat itu tular dengan 360,000 tontonan dan 11,500 perkongsian malah rata-rata warganet memuji tindakan pelajar serta budaya sekolah itu.

Sementara itu, Azwan Mahmin, 39, memberitahu Bernama beliau terdetik merakam video itu kerana tersentuh dengan akhlak yang ditunjukkan oleh pelajar sekolah itu kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

"Sedang dalam perjalanan ke rumah adik sepupu saya yang berhadapan dengan sekolah itu untuk sarapan pagi, saya melihat pelajar sekolah memberi salam kepada pengawal keselamatan itu.

"Gelagat pelajar itu membuat saya tersentuh. Tidak ada niat untuk tularkan benda (video) itu cuma ingin berkongsi dengan rakan-rakan di Facebook sebab ia jarang-jarang berlaku namun tidak menyangka video itu tular,” katanya.

Azwan berkata adik sepupunya itu memaklumkan budaya bersalaman dengan pengawal keselamatan adalah rutin harian pelajar di sekolah itu tanpa mengira umur. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu boleh buat senaman ringkas untuk elak murid mengantuk...mereka pasti bertenaga selepas itu

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Selipar lusuh dikutip lalu direka menjadi mainan sendiri...idea pelajar ini tarik perhatian netizen