Cambridge International menerima hampir 70,000 penyertaan untuk siri peperiksaan November 2020 lalu dan berkongsi hasil keputusan yang diterima mereka, baru-baru ini.

Lebih 17,000 calon berusia 14-19 tahun dari sekolah-sekolah di seluruh Malaysia telah mendapat keputusan untuk peperiksaan siri November 2020, termasuk subjek-subjek popular iaitu Matematik, Kimia dan Fizik.

Pengarah Negara Malaysia di Cambridge International, Ng Kim Huat berkata, tahun 2020 menjadi tahun transformasi dan telah memberi impak besar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di seluruh dunia.

“Keutamaan utama adalah bagi memastikan bahawa pelajar Cambridge di seluruh Malaysia kekal selamat dan dapat terus maju kehadapan dengan pendidikan mereka. Kerja keras para pelajar dan guru mereka dapat dilihat daripada hasil keputusan yang dikeluarkan. Tahniah kami ucapkan,” katanya.  

Cambridge International mengambil keputusan untuk mengadakan peperiksaan untuk siri global November 2020 yang lalu dan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa pendidikan, kerajaan dan sekolah di seluruh dunia dalam menyediakan prosedur yang benar-benar berkesan bagi membantu sekolah menganjurkan siri peperiksaan November 2020 dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Semua pusat Cambridge International di Malaysia telah mematuhi prosedur Cambridge dan peraturan pihak berkuasa tempatan. Kami berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Malaysia atas sokongan mereka bagi membolehkan kedua-dua pihak kolej swasta dan sekolah antarabangsa untuk menguruskan siri peperiksaan Cambridge untuk November 2020,”katanya.

Pengarah Serantau Asia Tenggara &Pasifik, Cambridge International, Dr Ben Schmidt mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sekolah dan guru-guru atas usaha yang mereka lakukan dalam menyokong pihak pelajar melalui siri November ini.

“Saya berharap para pelajar di seluruh Malaysia kini dapat maju ke hadapan dengan langkah seterusnya dalam kehidupan mereka, dan menjalani pengalaman ini dengan kental dan tanpa berputus asa, lebih-lebih lagi pada waktu yang mencabar ini,” ujarnya.

Secara keseluruhan,lebih daripada 470,000 gred dikeluarkan ke sekolah-sekolah di 139 negara, yang menunjukkan kadar peningkatan lebih dari 20 peratus berbanding tahun lalu.

Terdahulu, Kurikulum cambridge atau Cambridge Internasional bertujuan untuk menciptakan generasi yang bijak pandai dalam persaingan global.

Sesuai namanya, kurikulum Cambridge ini telah dipakai sekitar 1000 sekolah di 160 negara.

Cambridge International AS dan A Levels adalah persiapan yang sangat baik untuk universiti dan membolehkan pelajar Malaysia mendaftar ke institusi pengajian tinggi di Malaysia dan juga global, termasuk UK, Amerika Syarikat dan Singapura.

Terdapat lebih daripada 70 subjek yang terdapat di Cambridge IGCSE, termasuk 30 bahasa dan 55 mata pelajaran di AS & A Level, termasuk Matematik, Kimia dan Fizik, yang merupakan subjek yang paling popular di kalangan pelajar Malaysia.

Selain itu, mata pelajaran lain yang ditawarkan termasuklah Ekonomi, Perniagaan dan Undang-Undang.

Artikel menarik

Kebolehlaksanaan PBD secara atas talian sepanjang tempoh PdPR, ini perkongsian Guru Cemerlang

Ibu bapa, PIBG, kaunselor bantu pulihkan semangat calon