KUALA LUMPUR - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas, ramai pihak mengambil peluang memanfaatkan penggunaan platform media sosial supaya aktiviti yang dilakukan sebelum ini dapat diteruskan.

Tidak ketinggalan guru sekolah tahfiz yang menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian melalui aplikasi ‘Whatsapp Video Call’ dan ‘Webex Meet’ bagi membolehkan hafazan Al-Quran dapat dijalankan sama seperti di hari persekolahan biasa.

Mudir Maahad Tahfiz an-Nabawi Shah Alam, Selangor, Muhammad Izwan Abd Latib berkata,kelas dalam talian sekolah, yang pertama kali itu, dimulakan sejak sebulan lepas dengan waktu pembelajaran tiga jam sehari untuk bacaan hafazan Al-Quran pada setiap waktu pagi, lima kali seminggu.

"Kaedahnya sama di sekolah, pelajar akan bertalaqi untuk memperbetulkan bacaan hafazan, barulah tasmik iaitu bacaan hafazan yang baharu, kemudian ‘iadah’ ulangan bacaan hafazan baru dan ‘murajaah’ ulangan bagi hafazan yang sudah lama.

"Setiap mereka akan bergilir dengan masa diberikan lapan hingga 10 minit. Namun, ada juga bacaan hafazan dilakukan sehingga ke malam kerana sebahagian pelajar ada yang tidak ada telefon, jadi mungkin terpaksa menggunakan telefon ibu bapanya yang pada sebelah pagi mereka terpaksa keluar bekerja,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Izwan berkata bagi menjaga kemuliaan hafazan Al-Quran pula, setiap sesi Whatsapp Video Call, pelajar disyaratkan menutup mata dan memandang ke arah skrin telefon di samping ibu bapa menemani di sebelah mereka.

"Ini bagi mengelak daripada berlaku ketidakjujuran daripada pelajar. Bahkan kami juga mewajibkan pelajar untuk cukupkan hafazan Al-Quran lima muka surat seminggu sama seperti yang dilakukan di sekolah,” katanya.

Mudir yang berasal dari Terengganu itu berkata bagi memantau akhlak setiap pelajar, pihaknya mengambil pendekatan dengan mewujudkan kumpulan Whatsapp warden supaya guru dapat mengingatkan mereka seperti untuk menunaikan solat pada awal waktu.

Malah bagi memastikan pelajar hafiz kekal fokus, pihak sekolah, katanya juga menganjurkan pertandingan video dakwah pendek setiap minggu, dan video yang terpilih akan dikongsikan dalam Facebook sekolah itu.

Sementara itu, seorang bapa pelajar, Ahmad Fadli Mamat, 39, berkata pada peringkat awal bacaan hafazan Al-Quran dalam talian anaknya sedikit terganggu kerana tahap kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di kawasannya kurang memuaskan.

"Saya sekeluarga sudah berada di kampung sebelum PKP, jadi untuk menangani masalah itu saya terpaksa tukar talian kepada perkhidmatan syarikat telekomunikasi lain yang boleh dicapai di kawasan rumah,” katanya sambil menambah latihan lain yang diarahkan guru juga dapat diikuti seperti biasa.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (Pitas), Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, 215 daripada 411 sekolah tahfiz di negeri itu menggunakan kelas dalam talian sepanjang PKP dengan kehadiran pelajar melebihi 60 peratus.

"Bacaan hafazan Al-Quran mesti diteruskan walaupun masa PKP kerana ia adalah disiplin ilmu yang berbeza, dan sekiranya pelajar itu tinggal, tidak mengulangi hafazan dalam tempoh yang lama, ia umpama perlu diajar dari awal semula,” katanya. - Bernama

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba