KUALA LUMPUR - Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2021/2022 perlu melengkapkan dan menghantar borang permohonan UPUOnline sebelum tarikh tutup permohonan iaitu 5 petang 31 Mac ini.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Wahi Nordin berkata, setakat ini sebanyak 180,445 permohonan UPUOnline diterima dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan menerusi https://upu.mohe.gov.my.

“Calon tidak perlu risau apa juga keputusan (peperiksaan) mereka nanti. Buat permohonan sekarang kerana apabila keputusan keluar UPUOnline akan berikan ruang untuk kemas kini.

“Contohya, jika sekarang calon memohon program komunikasi dan apabila mendapat keputusan, calon gagal memenuhi syarat, calon boleh membuat pengemaskinian selepas keputusan peperiksaan sebenar diketahui,” katanya ketika dihubungi oleh program Malaysia Petang Ini yang disiarkan BernamaTV.

Tip untuk membuat permohonan di UPUOnline

Wahi berkata, permohonan UPUOnline tahun ini berbeza berbanding sebelumnya untuk memudahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); Asasi; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); matrikulasi; dan diploma atau setaraf yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, meskipun tanpa keputusan peperiksaan sebenar, maklumat awal diperoleh daripada permohonan UPUOnline itu akan memudahkan pihaknya membuat penyelarasan untuk program yang memerlukan temu duga.

“Masa agak singkat selepas keputusan keluar untuk aturkan temu duga. Jadi kita perlukan data. Daripada data itu, universiti akan melalui proses penilaian atau menyenarai pendek bagi proses temu duga,” katanya.

Selain itu, Wahi berkata, keputusan KPT untuk menanggung sepenuhnya bayaran bagi proses permohonan UPUOnline itu yang diumumkan sebelum ini untuk mengurangkan beban pelajar, harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Bayaran proses UPUOnline sebelum ini dikenakan kepada pemohon untuk mendapatkan nombor unik ID Bank Simpanan Nasional sebagai syarat untuk mengisi borang permohonan bagi melanjutkan pengajian ke IPTA dan ILKA. - BERNAMA

Artikel menarik

'Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah'

Guru sukarela deko kelas kerana minat dan kepuasan diri, bukan dipaksa atau terpaksa