KUALA LUMPUR - Pencapaian keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2019 di seluruh negara yang diumumkan semalam lebih baik berbanding tahun sebelumnya, dengan Gred Purata Nasional yang dicatat adalah 4.86 berbanding 4.89.

GPN ialah indeks yang diguna untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara iaitu jika semakin kecil nilainya menunjukkan pencapaian lebih baik.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Maznah Abu Bakar berkata indeks Gred Purata Negeri (GPN) Wilayah Persekutuan pada 2019 adalah 4.86 mata berbanding pencapaian pada 2018 iaitu 4.80 mata.

Beliau berkata 14 sekolah mencatat 100 peratus calon layak memperoleh sijil SPM berbanding 12 sekolah pada 2018, dan sembilan calon memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (A+) dalam semua mata pelajaran berbanding 13 orang pada 2018.

Namun, subjek Sejarah mencatat penurunan gred purata mata pelajaran (GPMP) sebanyak 0.19 iaitu 5.02 mata pada 2019 berbanding 4.83 pada 2018, katanya pada sidang media khas pengumuman keputusan SPM 2019 bagi WPKL di sini semalam.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Pkharuddin Ghazali berkata negeri itu sekali lagi mengekalkan kejayaan menduduki tangga kedua peringkat kebangsaan dalam keputusan SPM 2019 selama empat tahun berturut-turut.

"GPN Negeri Sembilan pada 2019 meningkat berbanding tahun 2018 dengan perbezaan sebanyak 0.09 mata. GPN pada tahun ini mencatat 4.58 mata berbanding 4.67 pada 2018," katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2019 peringkat negeri di Kolej Tunku Kurshiah (KTK).

Pkharuddin berkata daripada 14,332 calon di 116 sekolah, sembilan orang dari tujuh sekolah berjaya memperoleh keputusan cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, manakala 498 calon dari 66 sekolah mendapat gred A+, A dan A-.

Di PERAK, seorang calon berkeperluan khas kategori kurang upaya fizikal, Oscar Wong Kinn Lap dari Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Ipoh menarik perhatian apabila memperoleh 10A.

Pengarah Pendidikan negeri Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata Oscar adalah antara 732 calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran diambil di negeri berkenaan.

“GPN juga meningkat kepada 4.91 berbanding 5.01 mata pada tahun sebelumnya dan merupakan satu pencapaian tertinggi sepanjang lima tahun kebelakangan ini," katanya.

Di JOHOR, Pengarah Pendidikan negeri Azman Adnan berkata 1,083 pelajar memperoleh keputusan cemerlang A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 940 orang pada tahun 2018.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 56 calon mendapat keputusan semua A+ berbanding 16 orang pada 2018, dengan indeks Gred Purata Nasional (GPN) Negeri Johor pada 2019 adalah 4.68 berbanding 4.81 pada tahun 2018.

“Berdasarkan kepada analisis pencapaian SPM mulai 2012 hingga 2019 bagi GPN Negeri Johor juga menunjukkan peningkatan mulai 2015 sekali gus mengatasi GPN peringkat Nasional selama lapan tahun berturut-turut,” katanya ketika ditemui di SMK Mutiara Rini.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Dr Mahanom Mat Sam berkata 1,735 daripada 54,093 calon di negeri itu memperoleh semua A dalam kesemua mata pelajaran dan mencatat peningkatan dalam peratusan gred cemerlang iaitu 2.68 peratus pada 2019 berbanding 2.34 peratus pada 2018.

Keputusan SPM 2019 menyaksikan 54,627 calon di negeri itu layak mendapat sijil berbanding 54,093 pelajar pada 2018, manakala GPN meningkat sebanyak 0.03 mata iaitu dengan catatan 4.86 mata berbanding 4.89, katanya ketika mengumumkan keputusan SPM di Shah Alam.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad berkata pelajar SPM 2019 yang layak mendapat sijil meningkat kepada 89.1 peratus, berbanding 87.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata calon yang mendapat semua A+ dan A juga meningkat, masing-masing kepada 10 dan 235 orang pada tahun lepas, selain dua pelajar memperoleh 11A+, 10+ (enam orang) dan 9A+ (dua orang) dalam semua mata pelajaran diduduki.

"GPN Melaka juga meningkat 0.13 mata kepada 4.83 pada tahun lepas berbanding 4.96 pada 2018," katanya pada sidang media di SMK Padang.

Sementara itu, TERENGGANU berjaya melakar rekod baharu kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2019 dengan GPN 4.69 mengatasi rekod pencapaian tahun lalu iaitu 4.90.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani berkata jumlah pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 293 orang pada 2019 berbanding 276 calon pada tahun sebelumnya.

Di KEDAH, 393 calon SPM memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam kesemua mata pelajaran yang menyaksikan peningkatan seramai 15 orang berbanding tahun sebelumnya, dan dari jumlah itu enam orang memperoleh pencapaian cemerlang tertinggi dengan gred A+ bagi semua mata pelajaran.

Beliau berkata keputusan SPM 2019 di Kedah secara keseluruhannya mencatat pencapaian lebih baik dengan GPN negeri itu mencatatkan 5.02 berbanding 5.05 pada 2018.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abu Hanipah @ Fauzi Zahari berkata negeri itu mencatat GPN 4.84 mata.

Katanya, dua calon di negeri ini mendapat A+ dalam keseluruhan subjek dan 252 calon mendapat sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata 265 calon atau 1.53 peratus daripada 17,325 calon SPM 2019 di negeri berkenaan berjaya memperoleh A bagi semua mata pelajaran diduduki.

Katanya, pencapaian itu menjadikan peratusan calon cemerlang meningkat sebanyak 0.19 peratus, berbanding 238 orang yang direkodkan pada 2018, manakala jumlah calon yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada lima orang berbanding tiga pada tahun sebelumnya.

Di PULAU PINANG, 644 calon SPM berjaya memperoleh semua A dalam subjek yang diambil, namun jumlah calon cemerlang menurun sebanyak 102 orang berbanding pada 2018, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad.

"Secara keseluruhannya 15,451 calon daripada 20,877 pelajar atau 84.51 peratus yang menduduki peperiksaan SPM tahun lepas layak mendapat sijil selepas lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah manakala Gred Purata Sekolah (GPS) bagi Pulau Pinang pula ialah 4.86," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, Bukit Mertajam.

Katanya, 24 sekolah di negeri itu memperoleh pencapaian 100 peratus dengan semua pelajar lulus dan 10 sekolah mencapai GPS terbaik termasuk Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin.

Beliau berkata enam calon berkeperluan khas turut mendapat keputusan cemerlang, antaranya B. Kosini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Green Lane, yang mengalami masalah rabun memperoleh 2A+, 3A dan 4A- dan Nurul Felina Zaidi dari SMK Bukit Jambul bagi kategori pelbagai yang berjaya mendapat 4A, 3A- dan 2B+.

Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail berkata 83.39 peratus calon yang menduduki SPM 2019 layak mendapat sijil berbanding 85.19 peratus pada tahun sebelumnya yang menyaksikan GPN Perlis juga meningkat sebanyak 0.01 mata kepada 5.18 pada tahun lepas berbanding 5.19 pada 2018.

Seramai 43 pelajar (1.31 peratus) daripada 3,220 calon yang menduduki SPM memperoleh keputusan cemerlang gred A (Gred A+, A dan A-) dalam kesemua mata pelajaran yang diambil berbanding 41 (1.25 peratus) pelajar pada tahun sebelumnya, kata beliau.

Di LABUAN, daripada 964 calon sekolah kerajaan menduduki peperiksaan itu tahun lepas, 871 calon layak menerima sijil berbanding 840 calon pada tahun sebelumnya (2018).

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin berkata pencapaian GPN pula ialah 5.12 berbanding 4.98 pada 2018, dengan pencapaian sekurang-kurangnya cemerlang A- dalam semua mata pelajaran adalah seramai 12 orang. - Bernama

Artikel Menarik:

Wajah-wajah sekitar pengumuman keputusan SPM 2019 seluruh negara

Tip tarik minat pelajar lemah belajar Matematik - Guru Cemerlang kongsi tujuh rahsia

Murid SK Taman Bersatu wakili negara buat pembentangan di Itali - Tahniah guru pembimbing

Teknik Cabang bantu murid lemah, sederhana dan cemerlang bina karangan panjang, seragam