KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  mengadakan pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP Peringkat Wilayah Persekutuan 2019 pada tahun ini.

Pertandingan itu melibatkan 24  sekolah dan 90 peserta dari sekolah-sekolah  di Wilayah Persekutuan yang mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien Alhabshee  berkata, program diadakan supaya pelajar-pelajar di sekolah menengah tidak hanya terdedah dengan media sosial yang banyak unsur negatif.

“Kita cuba fikirkan sesuatu yang positif dan ini adalah satu pertandingan yang sihat. Tujuannya adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang petah bercakap, berbahas dan mampu memberi idea yang kritis mengenai sesuatu isu.

“Melalui platform ini, kita mampu membimbing mereka  menjadi pemimpin masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP Peringkat Wilayah Persekutuan 2019 di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah  Persekutuan, Maznah Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Abdul Aziz Jusoh.

Pertandingan bahas itu mengangkat tema ‘Rahmatan  Lil Alamin’, dan turut memberi peluang kepada pelajar  bukan Islam untuk menyertainya.

Menurut beliau, MAIWP memilih untuk mempromosikan gagasan Rahmatan Lil Alamin bagi memupuk kasih sayang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Lebih-lebih lagi dengan pelbagai isu perkauman yang berlaku akhir-akhir ini. 

"Kita perlu membimbing dan terapkan mengenai nilai-nilai Rahmatan Lil  Alamin dalam kalangan pelajar sekolah terlebih dahulu. Kemudian baru kita pergi ke golongan yang lain,” katanya.

Pertandingan akan bermula dengan saringan peringkat zon  pada 10 dan 11 September, manakala pasukan terbaik akan bersaing di peringkat akhir pada 9 dan 10 Oktober ini yang akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Bagi memastikan kejayaan program berkenaan, MAIWP memperuntukkan bajet hampir  RM300,000 sebagai hadiah wang tunai kepada pemenang.

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 diikuti  RM3,000 di tempat kedua dan RM1,000 di tempat ketiga.

“Jumlah  diberi sebagai dorongan kepada setiap sekolah di Wilayah Persekutuan untuk menyertai pertandingan ini. Kita juga merancang untuk menaik taraf pertandingan ini sehingga ke peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel berkaitan:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam