KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan merasmikan Festival Kesenian, Kebudayaan Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di Kompleks Kraf di sini.

Festival tiga hari yang bermula semalam merupakan platform bagi murid pendidikan khas dan guru mempamerkan keupayaan dan kemampuan sebenar dalam usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan dalam kalangan warga pendidikan khas ibu negara.  

Keberangkatan Tunku Azizah itu juga merupakan simbolik kepada kesinambungan tradisi keprihatinan institusi Diraja terhadap kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Datuk Yasmin Hussain dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kraftangan Malaysia ‘Ainu Sham Ramli.

Pada majlis itu, Tuanku Azizah dan kira-kira 1,000 hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional serta nyanyian oleh pelajar sekolah Seni Malaysia dan sekolah Pendidikan Khas Setapak.

Festival itu melibatkan hampir 300 murid pelbagai keperluan khas dari 53 sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi dan sekolah Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebanyak 11 acara dipertandingkan dalam acara itu antaranya gubahan sirih junjung, hiasan pulut kuning, masakan tradisional tempatan dan mewarna batik.

Menambah keceriaan pada majlis itu, Tunku Azizah membuat kejutan apabila berkenan mendendangkan lagu Bassanova, yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Wann, bersama seorang pelajar sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis, pelajar Aneesya Ramadani Atuni, 13, berkata beliau tidak menyangka berpeluang berkongsi mikrofon ketika sedang membuat persembahan ‘busking’ untuk festival itu.

“Saya diberitahu guru bahawa Tunku Azizah akan datang ke program ini, tapi tak terfikir akan dapat berjumpa dan tak sangka dia datang melawat ke gerai pameran.

“Ketika saya menyanyi tiba-tiba nampak ramai orang, kemudian saya nampak Tunku Azizah datang jadi saya hulurkan tangan untuk bersalam, lepas salam tak sangka dia mengambil mikrofon dan menyanyi bersama," katanya teruja. - Bernama

Tunku Azizah (dua, kanan) berkenan melawat ruang pameran semasa berangkat pada Festival Kesenian, Kebudayaan, Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kompleks Kraf semalam. 

Artikel Menarik:

Panduan mengemas meja guru agar kemas dan tersusun - Boleh rujuk tip yang dikongsi rakan guru

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Cara pengiraan untuk ganjaran Gantian Cuti Rehat dengan wang tunai