KUALA LUMPUR - Tarikh 16 Mei merupakan tarikh keramat yang begitu sinonim dengan insan yang bergelar guru.

Setiap tahun, pada tarikh ini guru diberi penghormatan khas bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan dalam mendidik anak bangsa.

Tahun ini, bertemakan ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ membawa makna yang cukup besar buat lebih 400,000 guru sekali gus menggambarkan sumbangan dan peranan signifikan mereka yang tidak pernah pudar walaupun ditelan dek zaman.

Justeru, dalam memastikan nasib guru terbela, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan garis panduan Prosedur Operasi Standard keselamatan dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah bagi menghadiri urusan rasmi.

Menurut Presidennya Jasni Md Kechik, garis panduan mengenai hal itu haruslah dimuktamadkan bagi memastikan golongan pendidik juga dilindungi daripada sudut perundangan jika sesuatu perkara terjadi.

"Pada masa ini, seandainya terjadi kemalangan sewaktu guru membawa murid menyertai sesuatu pertandingan, waris pelajar boleh mengambil tindakan terhadap guru. Sedikit sebanyak perkara ini membuatkan guru tersepit antara melaksanakan tanggungjawab mereka dan risiko yang perlu dihadapi seandainya perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, Jasni turut menyeru KPM untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama kesatuan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan untuk menambah baik sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan demi kebaikan semua.

Dalam pada itu, bagi mengembalikan peranan guru sebagai 'adiwira' sekolah, Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia berpendapat beban tugas guru seharusnya diselesaikan  dalam kadar segera oleh KPM.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan bagaimanapun mengakui KPM berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan, cuma ia masih belum sempurna kerana terdapat kelompongan yang perlu diperbaiki.

"Kita tidak nafikan usaha KPM dan kita dapati terdapat perubahan sekali gus menjadi semakin baik. Kita perlu lakukan ini kerana kalau kita mahu lihat guru menjadi adiwira, tugas guru sepatutnya lebih tertumpu kepada pembangunan sahsiah dan pembentukan akdemik," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar KPM menambah bilangan guru dan pembantu guru sebagai jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah itu.

Mohd Azizee turut berharap supaya isu graduan pendidikan daripada universiti awam dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin supaya tidak berlaku pertindihan dengan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Artikel menarik:

Maszlee umum tujuh inisiatif kurang beban guru dalam ucapan Hari Guru pagi tadi

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

'Bonus ada...' - Tun M sahkan penjawat awam akan terima bonus raya

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling daripada KPM