KUALA LUMPUR - Kurang 24 jam lagi, seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan melangkah ke ‘medan perang pen dan kertas’, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula esok dalam suasana pembudayaan norma baharu.

Kelainan bagi calon SPM 2020, mereka bukan sahaja hadir ke dewan peperiksaan dengan ‘berbekalkan’  pen dan pengetahuan, malah kali ini mereka perlu membawa ‘bekalan tambahan’ iaitu pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk mencegah penularan Covid-19.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan itu, persiapan akhir di 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Di JOHOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor (JBPM) Datuk Yahaya Madis berkata, 288 sekolah menengah terlibat dalam peperiksaan itu telah menjalani proses sanitasi, merangkumi dewan sekolah, bilik darjah dan bilik kuarantin.

Beliau berkata, proses sanitasi dilakukan sekali sepanjang peperiksaan, namun proses sama akan dilakukan sekali lagi sekiranya terdapat laporan kes Covid-19 di sekolah terlibat.

Sementara itu di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Najmi Ahmad memberi jaminan pihak pengurusan sekolah amat menitikberatkan aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pelajar sepanjang peperiksaan itu.

Seramai 29,939 calon SPM berdaftar di negeri itu dan calon teramai antaranya adalah di daerah Sungai Petani iaitu 5,944 calon, diikuti Kota Setar (4,931); Kulim (4,138); Kubang Pasu (3,495) dan Baling seramai 2,623 calon.

Di KELANTAN pula, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, bagi calon SPM yang menjalani kuarantin, mereka tidak akan menduduki peperiksaan esok.

Jelasnya, mereka akan dikumpulkan pada satu masa dan tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas tamat tempoh kuarantin.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan  Bomba dan Penyelamat Negeri Saadon Mokhtar berharap pelaksanaan proses sanitasi dijalankan sejak minggu lepas dapat meredakan kebimbangan pelajar, petugas serta ibu bapa mengenai soal keselamatan calon - BERNAMA

Artikel menarik

Calon SPM diingat patuh garis panduan, SOP cegah penularan Covid-19

Empat strategi skor A penulisan Bahasa Melayu SPM 2020...ini yang perlu pelajar lakukan