Kuala Lumpur - Sebanyak 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibuka tahun ini yang akan memberi manfaat kepada hampir 7,600 orang lagi Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Menteri Pendidikan, Dr maszlee Malik berkata, pelaksanaan PPKI itu yang membabitkan 1,109 kelas juga bakal memberikan akses pendidikan yang lebih mudah serta berhampiran kawasan kediaman golongan pelajar itu.

"Peluasan (program) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta adalah bagi menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar mereka mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

"Dari segi penyelenggaraan pula, bagi tahun ini Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi menyelenggara 320 sekolah lagi dan jumlah enrolmen juga telah meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur MBK,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan bersempena hari pertama sesi persekolahan tahun ini di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata pada 2019, berlaku peningkatan sebanyak 88,419 orang MBK mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas berbanding 83,598 orang pada 2018.

"Pertambahan ini menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan yang telah dilaksanakan oleh KPM khusus untuk golongan kurang upaya yang juga merupakan aset kepada negara,” katanya.

Selain itu, Maszlee berkata, sebanyak 75 sekolah telah mengambil langkah positif dengan membuka PPKI menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang menawarkan PPKI daripada peringkat prasekolah ke peringkat menengah di negara ini adalah sebanyak 2,418 buah.

Beliau berkata, pendidikan bagi MBK merupakan inisiatif yang menjadi keutamaan kementerian selaras dengan Dasar Sifar Penolakan yang diumumkan baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas berhubung  program pertukaran guru secara ‘suka sama suka’ yang menjadi antara lima perancangan terbesar KPM pada tahun ini, Maszlee berkata, ia bakal dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui aplikasi dalam talian.

"Pada tahun 2020 dan tahun akan datang sistem pertukaran guru akan lebih tersusun dan ia akan dilaksanakan berdasarkan sistem digital. KPM akan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya," katanya. - Bernama
 

Guru SK Setiawangsa sibuk menguruskan murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan sesi 2020.

Murid Tahun Satu, Muhammad Darwis Aqil Mohd Shah (kanan) dipujuk ibunya Norashikin Hassan pada hari pertama persekolahan sesi 2020 di SK Setiawangsa.

Maszlee (kiri) menyambut murid Tahun Satu, Syamillya Myazzarra (dua, kiri) yang ditemani bapanya Muzzammil Hasshim (dua, kanan) ketika hadir pada hari pertama persekolahan sesi 2020 di SK Setiawangsa hari ini.

Maszlee memberi kata-kata semangat kepada murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan sesi 2020 di SK Setiawangsa hari ini.

Murid Tahun Satu yang juga orang kelainan upaya (OKU) Mohd Aqil Firas Mohd Irwan (kanan) dilihat membuat aktiviti mewarna pada hari pertama persekolahan sesi 2020 di SK
Setiawangsa.

Antara gelagat murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan sesi 2020 di SK Setiawangsa.

Artikel lain:

Kedudukan lencana sekolah dan tanda nama murid pasa pakaian seragam sekolah

Mulai tahun 2020, KPm terkenal pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima

Cara pengiraan untuk ganjaran Gantian Cuti Rehat dengan wang tunai

'Tidak layak ke sekolah berasrama penuh, bukan gelap masa depan' - Penulis ini kongsi pengalaman

Pelbagai gelagat warnai hari pertama persekolahan, inilah yang dilalui guru setiap tahun (30 foto)