KUALA LUMPUR - Mulai hari ini, sejumlah murid yang layak memperoleh manfaat Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (PP RMT) di 100 buah sekolah rendah di seluruh negara menikmati makanan bersama-sama sebelum memasuki kelas.

Buat permulaan, sebanyak 4,000 murid daripada golongan sasar di seluruh negara memperoleh manfaat program berkenaan dengan lebih 20 menu berkhasiat berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang disediakan pihak kantin sekolah. Sejumlah RM22 juta diperuntukkan untuk program berkenaan.

Program makanan tambahan di sekolah yang menyasarkan kepada murid sekolah rendah dalam kalangan keluarga miskin tegar dan miskin serta murid kurang upaya (OKU) dan murid di sekolah Orang Asli/Penan dilaksanakan sejak 1979, menjadikan penerima RMT kini berjumlah 517,000 murid.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim meninjau pelaksanaan program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria, di Taman Tan Yew Lai dekat ini.

Menzahirkan rasa puas hati dengan penyediaan dan pengedaran makanan untuk hari pertama kepada 26 murid layak di sekolah itu, Habibah berharap setiap murid bukan hanya mendapat manfaat daripada program malah mengamalkan sifat tidak membazir.

“Program ini bukan sahaja mahu pastikan murid menikmati makanan bernutrisi tetapi memupuk nilai dari segi amalan pemakanan baik, gaya hidup sihat, cara makan mengikut agama masing-masing (berdoa) dan jangan membazir,” katanya.

Di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Salak South, Kampung Baru Salak Selatan di sini, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan, Zainuddin Mohamad meninjau pelaksanaan program yang menu di sekolah itu adalah nasi lemak, bihun goreng, pisang dan air Milo.

Seramai 75 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan berkeperluan khas di sekolah itu mendapat manfaat program berkenaan,

Di SELANGOR, 906 murid daripada enam sekolah seluruh negeri menerima manfaat program berkenaan.

Timbalan Pengarah Pengurusan Murid Jabatan Pendidikan negeri Azmi Misrun berkata sekolah terbabit ialah SK Jeram Batu ,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan (Sabak Bernam), SJKC Tanjong Sepat (Kuala Langat), SK Bukit Lanjan (Petaling Utama), SK Tun Abdul Razak (Hulu Selangor) dan SK Bandar Rinching (Sepang).

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata seramai 344 murid daripada lima sekolah terlibat dengan program itu iaitu SK Jelutong Barat, SK Kuala Muda (Seberang Perai Utara), SK Sungai Rambai (Seberang Perai Tengah), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Prye (Seberang Perai Tengah) dan SJKC Yu Chye (Barat Daya).

Di PERAK, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan negeri Aznan Alias berkata enam buah sekolah yang terpilih di negeri itu dengan jumlah 850 murid.

Enam sekolah yang terpilih ialah SJKC Chui Chak, Langkap iaitu seramai 37 orang, SJKT Ayer Tawar (220); SK Datin Khadijah, Kuala Kangsar (135); SK Jernang, Sungkai (173), SK Suak Padi, Bota (131) dan SK Seri Tanjung, Tanjung Rambutan (154).

Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Dr Salmee Said berkata seramai 2,267 murid daripada lapan sekolah di negeri tersebut menerima manfaat sama.

Lapan sekolah berkenaan ialah SK Ayer Hitam di Kubang Pasu dengan 341 murid; SK Sungai Tiang, Pendang (303); SK Jeneri, Sik (466); SK Kampung Belukar, Padang Terap (300); SK Lanai, Baling (409); SK Kampung Bukit, Kota Setar (199); SJKC Chung Hwa, Sik (102) dan SJKT Ladang Henrietta, Kulim (147).

Di PERLIS, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Ishak Din berkata seramai 839 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam daripada empat sekolah terlibat dalam program tersebut.

“Empat buah sekolah tersebut ialah SK Tambun Tulang, SK Kuala Perlis, SK Kg Serdang, Simpang Empat dan SJKC Sin Min, Pauh yang melaksanakan program penambahbaikan RMT melibatkan murid dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Bernama.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Pkharuddin Ghazali berkata seramai 366 murid terlibat dalam program Penambahbaikan RMT, melibatkan 28 murid di daerah Rembau, ​​​Kuala Pilah (75), Jelebu (179) dan Jempol (84).

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata sebanyak enam sekolah rendah terpilih untuk menjadi perintis pelaksanaan program tersebut melibatkan keseluruhan 1,148 orang pelajar.

Sekolah yang terlibat ialah SK Temin di Jerantut, SK Iskandar (Bera), SK Satak (Raub), SK Kedaik (Rompin), SK Bukit Bota (Maran) dan SJKC Telemong (Bentong).

Di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani berkata seramai 159 murid daripada enam sekolah rendah di Terengganu menerima manfaat program tersebut pada tahun ini.

"Daripada 159 murid itu, 51 orang murid di SK Keruak di Besut, masing-masing 37 murid di SK Pengkalan Berangan di Marang dan SK Chalok di Setiu; 24 murid di SK Jerong, tujuh murid di SK Binjai Kertas di Hulu Terengganu dan tiga murid di SJKC Jabor di Kemaman.

Di KELANTAN, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Mashadi Mustapha berkata seramai 2,062 pelajar miskin dan miskin tegar di lapan buah sekolah di Kelantan mendapat manfaat program itu.

Di JOHOR, seramai 707 murid Tahun Dua hingga Tahun Enam daripada enam sekolah rendah di negeri itu menerima manfaat, dengan menyasarkan pelajar dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan, terutamanya membiasakan murid untuk bersarapan.

Pengarah Pendidikan negeri Azman Adnan berkata enam sekolah berkenaan ialah SJKC Chong Hwa, Batu Pahat dengan 19 murid; SK Parit Sulong, Batu Pahat (174); SK Pekan Layang-Layang, Kluang (125); SK Rengit, Batu Pahat (151); SK Seri Jong, Muar (104) dan SK Tengku Mahmood Iskandar 1, Pontian (134).

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Dr Mohd Azam Ahmad berkata seramai 133 murid dari empat sekolah terlibat iaitu SK Batu Gajah, SK Batang Melaka, SK Cherana Puteh dan SJKC Khiaw Yew.

Menerusi pelaksanaan program itu, murid berkenaan diberikan pendidikan kesihatan dengan mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat yang membantu merangsang proses tumbesaran mereka di peringkat umur awal persekolahan.

Menurut KPM, program itu juga diharap dapat memberi manfaat bagi murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah selari dengan hasrat kerajaan dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada golongan yang memerlukan. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: 4,000 murid terpilih sertai program RMT bermula hari ini]

Artikel Menarik:

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Cara ustaz ini ajar Pendidikan Islam buat pelajar benar-benar faham konsep aurat