KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 yang sudah berlarutan lebih setahun, dengan pelbagai kekangan dalam melaksanakan aktiviti berbentuk fizikal, tidak menghalang mahasiswa Universiti Malaya (UM) untuk mendekati pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shahbandaraya, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Sekumpulan 30 orang mahasiswa dari Kelab Fasilitator, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM telah meluangkan masa sehari bersama pelajar-pelajar Tingkatan Tiga merangkumi sembilan buah kelas.

Mereka melakukan pelbagai aktiviti yang membina semangat kerjasama dan kemahiran kognitif yang dilaksanakan sepenuhnya di atas talian menggunakan aplikasi Zoom.

Program yang dinamai ‘Seek Your Personality’ (SUPER) itu bertujuan untuk membantu meningkatkan fokus pelajar sekolah semasa pembelajaran di atas talian, terutamanya pelajar Tingkatan Tiga yang masih menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 2 April 2021.

Sukarelawan SUPER sangat kreatif dalam memastikan objektif program tercapai.

Pengarah SUPER yang juga mahasiswa tahun kedua Kejuruteran Mekanikal UM, Ahmad Izzuddin Mohd Isa berkata, pelbagai modul telah dilaksanakan bagi meningkatkan fokus para peserta.

Katanya, melalui program itu, fasilitator cuba mengasah kemahiran mendengar, kemahiran menerima arahan, dan kemahiran membuat keputusan dalam masa yang singkat, melalui pelbagai aktiviti yang menarik.

"Walaupun sebilangan pelajar tidak dapat menyertai keseluruhan aktiviti kerana masalah capaian internet, keseluruhan modul aktiviti yang dirancang telah dilaksanakan.

“Walaupun SUPER ini pertama kali diadakan, namun ia menerima maklum balas yang positif dari pihak sekolah. Perkara ini pastinya akan memberi motivasi kepada kami untuk melaksanakannya lagi pada masa hadapan,” katanya.

Nur Qistina beraksi dengan peserta SUPER secara maya.

Mahasiswa tahun kedua jurusan pengurusan sukan UM yang merupakan sukarelawan program, Nur Qistina Yaacob, berkata meskipun aktiviti-aktiviti yang dirancang kesemuanya menarik, namun tetap terselit nilai-nilai pembelajaran di dalamnya.

"Modul yang dinamai ‘Short Story’ dan ‘Read My Lips’ menjadi pilihan saya kerana mampu membentuk kreativiti pelajar dalam bercerita, dan membina fokus dan kepekaan pelajar di dalam senario tertentu," katanya.

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri, yang juga merupakan penasihat program berkata, program jaringan masyarakat oleh mahasiswa sebegini sememangnya digalakkan untuk dilaksanakan oleh universiti.

“Secara langsung, program ini telah membuktikan peranan yang mampu dilaksanakan oleh mahasiswa kepada komuniti setempat, biar pun masih belum bergelar graduan.

"Secara tidak langsung, nilai teras universiti yang positif turut disemai kepada pelajar sekolah yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang,” katanya.

Sejak 2016, sukarelawan Kelab Fasilitator telah banyak melakukan program-program bersama pelajar sekolah di seluruh negara.

Artikel menarik

Kakak tidak pernah makan chicken chop, saya nak bagi dia rasa. Boleh cikgu? Mulianya hati murid ini

'Iman satu-satunya anak perempuan saya' - Ibu sebak anak dapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh