Tiga buah pasukan berjaya merangkul hadiah utama berupa geran inovasi berjumlah RM60,000 pada pertandingan

Sime Darby Young Innovators Challenge (SDYIC) anjuran Yayasan Sime Darby (YSD), baru-baru ini.  

Pasukan yang berjaya adalah Pasukan Indahpura 1 dari SMK Indahpura (1), Kulai, Johor dengan prototaip Toilet Counter, iaitu memastikan keselamatan ketika di tandas awam.

Mereka memenangi geran inovasi bernilai RM20,000 dan turut menerima hadiah berupa baucar buku berjumlah RM1,000.

Pasukan kedua iaitu kumpulan pelajar SMK Mulong, Kota Bharu, Kelantan turut sama menerima geran inovasi YSD berjumlah RM20,000 dengan hasil ciptaan pengesan ketinggian untuk pengukuran dan rakaman ketinggian yang lebih pantas dan tepat.

Inovasi tersebut dijangka mampu memberi manfaat kepada guru- guru ketika sesi Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) di sekolah dan juga klinik-klinik kesihatan.

Pasukan Aces dari SMK Tiong Hin, Sibu, Sarawak dengan prototaip jaket keselamatan pengawal trafik yang inovatif juga menerima jumlah geran yang sama iaitu berjumlah RM20,000.

Kesemua pemenang berpeluang mengembangkan prototaip ciptaan mereka dalam tempoh satu tahun sebelum proses pelaksanaan.

Ahli Lembaga YSD, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, peserta pada tahun ini, cukup kreatif dan sangat berbakat.

“Melihatkan kepada prototaip yang mereka buat, memang cukup mengujakan.

“Saya yakin, pelajar-pelajar kita mempunyai keupayaan untuk mencipta inovasi secara lebih inovatif dan akan memberikan impak kepada komuniti dan masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, SDYIC turut meraikan tiga kumpulan lain yang menerima anugerah-anugerah khas.

Kumpulan pelajar dari SMK Kubang Kerian menerima Anugerah Inovasi Pilihan dengan ciptaan prototaip bagi mengawal serangga perosak tanaman dengan lebih efektif.

Seterusnya, SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur (Waste Me Not) dan SMK Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang masing-masing memenangi Anugerah Pembentang Terbaik sekali gus menerima hadiah berupa baucar buku berjumlah RM300.

Prototaip yang dicipta oleh pasukan dari SMK Aminuddin Baki iaitu “Waste Me Not” bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan manakala pasukan dari SMK Jit Sin pula mencipta prototaip bagi mengawal jarak penglihatan kanak-kanak daripada komputer.

Terdahulu, sebanyak 1,581 pelajar merangkumi 610 buah pasukan dari 406 sekolah seluruh Negara menyertai SDYIC peringkat negeri yang diadakan secara atas talian.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 pasukan telah dipilih sebagai finalis untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Bertemakan "Bantu Seseorang, Ubah Dunia", program bertujuan mengetengahkan idea inovatif dalam menyelesaikan masalah kehidupan sebenar bagi masyarakat, yang bermula dengan membantu satu orang.

Artikel menarik

4 istilah dunia perguruan yang popular, semua orang boleh ambil tahu

5 perkara yang perlu diketahui tentang kerjaya guru, ayuh semak!