KUALA LUMPUR - Artis Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 17, bukanlah nama asing dalam arena seni lukis negara.

Dinamakan Jamila yang bermaksud ‘cantik’ dalam Bahasa Arab, kecantikan beliau bukanlah hanya pada nama, tetapi lebih pada ketelusannya berkarya dan mengekspresikan ilham ke atas kanvas.  

Gadis autistik berasal dari Shah Alam, Selangor itu banyak menghasilkan karya lukisan jenis akrilik, khususnya lukisan bertemakan perpaduan dan alam sekitar, di bawah jenama artjamila.

Menerusi bakat beliau itu, dengan tafsirannya yang tersendiri, gadis istimewa itu menyumbang pada usaha menyemarakkan semangat perpaduan dan muhibah di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Karya beliau "Unity in Diversity” siri tiga dipilih oleh Perbadanan Putrajaya (PJC) untuk dicetak di atas arca Putrajaya yang terletak di Dataran Putra, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019.

Menurut ibu Noorhashimah Mohamed Noordin, 58, lukisan itu, yang mempamerkan kaki langit Kuala Lumpur dan Putrajaya, secara kebetulan dilihat oleh pihak PJC menerusi artikel berkenaan Jamila yang tersiar di sebuah akhbar tempatan.

"Pihak PJC berasa lukisan ini memang sangat bersesuaian dengan tema perpaduan bangsa yang ingin diketengahkan mereka,” kata arkitek yang juga mantan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu.

Lukisan yang berukuran 152cmX274cm (5x9 kaki) itu adalah yang terbesar pernah dihasilkan Jamila dan mengambil masa hampir sebulan setengah untuk disiapkan.

Karya itu mula menghiasi arca pada 19 Ogos lalu dan dijangka berterusan sepanjang Ogos dan September ini.

Selain itu, lukisan Jamila yang bertajuk "Unity in Diversity Dance” diadaptasi kepada bentuk mural  bagi menghiasi tembok bangunan Pusat Kecemerlangan Intervensi Awal Genius Kurnia di Sentul.

Projek tersebut adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), dengan kerjasama Genius Kurnia, sempena sambutan kemerdekaan Malaysia tahun ini.

"Dia melukis daripada memori di sekolah rendah di mana perarakan Hari Kebangsaan diadakan setiap tahun, dan murid-murid yang mengambil bahagian memakai baju dengan warna-warna bendera Malaysia,” kata Noorhashimah.

Daripada apa yang disaksikan beliau semasa perarakan itu, Jamila menterjemahkan secara unik di atas kanvas tentang bagaimana pelbagai kaum di negara ini berasimilasi atau hidup bersama.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim (kiri) bersama Wan Jamila Wan Shaiful Bahri (kanan) bergambar pada huruf A yang merupakan sebahagian dari arca PUTRAJAYA di Dataran Putra semalam.

Sudah menjadi kebiasaan dalam lukisan beliau yang bertemakan semangat kebangsaan, Jamila akan melukis watak daripada berbilang kaum memakai pakaian tradisional.

Watak-watak ini kemudiannya dijalin bersama dengan Jalur Gemilang yang menjadi corak latar belakang lukisan tersebut.

LUKISAN LUAHAN ISI HATI JAMILA

Noorhashimah berkata sejak kecil lagi Jamila sangat kurang bercakap dan berkomunikasi menerusi lukisan.

"Seawal usia empat tahun lagi Jamila banyak melukis dan meluah isi hatinya menerusi lukisan,” katanya.

Beliau masih ingat semasa Jamila bersekolah rendah, anak gadisnya itu akan memenuhi buku nota dengan lakaran peristiwa yang berlaku di sekolah.

"Walaupun Jamila mempunyai kesukaran dalam komunikasi secara verbal dan interaksi sosial, dia bagaimanapun peka pada apa yang berlaku di sekelilingnya.

"Dia menggunakan lukisan untuk meluahkan perasaan, gembira, sedih, marah, seronok,” jelas Noorhashimah.

KERJAYA SEBAGAI ARTIS

Melihat potensi besar anaknya dalam bidang seni, Noorhashimah mengambil keputusan untuk memberhentikan Jamila daripada sekolah pada usia 14 tahun dan menumpukan sepenuhnya pada pembangunan kerjaya sebagai artis.

Bagi lebih memahami selok-belok industri seni, Jamila dibawa ke pameran selain berjumpa dengan artis-artis tersohor negara.

Antaranya ialah pelukis Yusof Ghani yang menasihati supaya Jamila mula segera melukis di atas kanvas.

Maestro itu juga berpendapatan Jamila tidak perlu pada pendidikan rasmi dalam bidang seni supaya dapat mengekalkan gayanya yang tersendiri.

Sejak itu, dengan jenama artjamila, Jamila mula menempa nama sebagai artis dan banyak meraih hadiah dalam pertandingan selain pelbagai penghargaan lain.

Antaranya ialah dipilih sebagai pemenang mingguan pada pertandingan melukis secara langsung bertemakan "Negaraku” di Galeri Seni Negara pada 2017, serta pernah meraih tempat ketiga pada Pertandingan Melukis Abylimpics Kebangsaan pada 2018 di mana beliau adalah peserta termuda.

Jamila juga dianugerahkan Johan Autism sebagai Artis Bintang Autism bagi menghargainya sumbangannya kepada komuniti autism di negara ini.

Beliau juga pernah mengambil bahagian dalam tiga pameran solo mini dan 26 pameran berkumpulan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sehingga kini lebih 90 karya asli dengan jenama artjamila dijual kepada pengumpul lukisan yang terdiri daripada tokoh korporat serta syarikat swasta di Malaysia dan Switzealand.

Jamila juga dilantik oleh sebuah yayasan alam sekitar di Switzealand sebagai artis impak mereka.

Menerusi pelantikan itu Jamila akan menghasilkan lukisan-lukisan yang membawa mesej berkaitan pemeliharaan alam sekitar.

Antaranya ialah lukisan mozek ikan (lukisan yang memaparkan ikan sebagai corak berulang) yang juga merupakan antara jenis lukisan yang disukai Jamila.

"Bagi menimbulkan kesedaran tentang pencemaran plastik di dalam laut, Jamila kini turut memasukkan imej sampah seperti botol plastik dalam lukisan mozek ikannya,” kata Noorhashimah.

UJIAN

Meskipun perjalanan kerjaya Jamila sebagai artis berjalan lancar, Noorhashimah mempunyai kebimbangannya sendiri.

Beliau disahkan menghidap kanser kolon pada 2016 dan walaupun menjalani pembedahan serta kimoterapi, penyakit itu tidak menunjukkan pengurangan yang signifikan.

Bagaimanapun Noorhashimah tidak mahu berputus asa dan akan terus mencuba rawatan yang ada termasuk radioterapi.

Katanya, melihat pada perkembangan Jamila yang sangat membanggakan itu, memberi beliau kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut.

Beliau bertekad untuk menaikkan lagi nama artjamila agar lebih dikenali ramai.

"Apa yang saya mahu ialah untuk sembuh daripada penyakit ini, menjadi sihat supaya saya boleh terus membantu Jamila sehingga dia dapat berdikari.

"Harapan saya ialah supaya satu hari nanti dia dapat menguruskan kehidupannya sendiri dan terus berkarya sebagai artis,” katanya.

Diterjemah oleh Ainul Huda Mohamed Saaid. - BERNAMA

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR