SEGi Universiti dan Kolej (SEGi) baru-baru ini telah menerima enam pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bagi tahun penilaian 2018/2019.

Pengarah Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SEG International Berhad Hew Moi Lan berkata kesemua pengiktirafan itu adalah testimoni terhadap komitmen SEGi dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi.

“Ini merupakan pengiktirafan paling banyak pernah dirangkul oleh sebuah institusi swasta. Kami bangga dan rendah hati dengan pencapaian ini yang menjadi inspirasi untuk kami terus berinovasi dan menambah baik program kami bagi memastikan agar kami mampu menghasilkan graduan yang relevan dengan industri,” menurutnya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pengiktirafan yang diterima ialah penarafan lima bintang SETARA 2018/2019 bagi kategori universiti baharu (UniversitiSEGi); penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 bagi kategori Pengambilan Pelajar Melebihi 2,000 (Kolej SEGi Subang Jaya) dan penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 bagi kategori Pengambilan Pelajar Sederhana 601-1,999 (Kolej SEGi Kota Damansara).

Selain itu, penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 bagi kategori Pengambilan Pelajar Sederhana 601-1,999 (Kolej SEGi Pulau Pinang); penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 bagi kategori Pengambilan Pelajar Kurang 600 (Kolej SEGi Sarawak) serta penarafan lima bintang MyQUEST 2018/2019 bagi kategori Pengambilan Pelajar Melebihi 2,000 (Kolej SEGi Kuala Lumpur).

 

-- BERNAMA