Selepas hampir tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik COVID-19, sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam dimulakan semula hari ini.

Perasaan gembira berbaur khuatir pasti dirasai golongan pelajar, guru dan ibu bapa, namun dengan kes COVID-19 yang semakin terkawal, pembukaan ini diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dengan persiapan rapi yang dilaksanakan pihak sekolah serta pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula sekolah, pembukaan sektor pendidikan dilihat penting terutama bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam.

Pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Atas faktor ini juga, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian tidak akan menangguhkan pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Antara SOP pembukaan semula sekolah adalah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah iaitu mereka dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah dan aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam, beliau berpuas hati melihat semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah.

Menurut beliau, KPM akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang semula dengan KKM serta Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.

Mengenai situasi COVID-19 pula, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam memaklumkan hanya tiga kes baharu direkodkan, angka antara paling rendah selepas hanya dua kes baharu pada 10 Jun lepas, selain tiada kematian dicatatkan, menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Apapun yang diputuskan kerajaan, wajar untuk rakyat Malaysia optimis bahawa negara semakin menghampiri garis untuk bebas daripada pandemik COVID-19 dengan mematuhi SOP dan kawalan kendiri yang tinggi.

Namun perlu diingat, rakyat tidak boleh alpa dengan segala kelonggaran yang diberikan kerajaan kerana segalanya kini berada di tangan 32.7 juta rakyat Malaysia - BERNAMA