22 Julai lalu,  anak-anak tahun satu hingga empat memulakan sesi persekolahan dan bagi ibu bapa yang berdepan dengan kekangan untuk menghantar atau mengambil anak mereka dari sekolah, pastinya bas atau van sekolah adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Namun, isu kesesakan dan ketiadaan jarakan sosial dalam bas sekolah menjadi kebimbangan ibu bapa yang khuatir dengan risiko jangkitan COVID-19 kepada anak-anak yang masih kecil itu, apatah lagi dengan peningkatan semula kes tersebut dalam negara.

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, Kementerian Kesihatan (KKM) sewajarnya menyemak kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi pengusaha bas untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak mereka terjaga secara optimum.

"Apabila melibatkan kanak-kanak, SOP tidak seharusnya dilonggarkan, tetapi diperketatkan termasuklah dalam soal kebersihan dan juga mengelakkan kesesakan... apabila keselamatan murid-murid terjamin, barulah ibu bapa berasa yakin untuk melepaskan anak mereka menaiki bas atau van sekolah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata adalah penting untuk bilangan kapasiti murid dan penjarakan sosial di dalam bas sekolah difikirkan semula bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bas termasuklah ketika naik dan turun dari kenderaan tersebut, sekali gus mengelakkan kemunculan kluster baharu.  

"Tentunya kita takut... kita tidak pasti sama ada bas atau van sekolah itu patuhi semua SOP... siapa yang akan pantau kesesakan dalam bas dan juga tahap sanitasi kenderaan... kapal terbang mungkin tidak perlukan jarakan sosial tetapi ini adalah bas sekolah yang tahap kebersihan pastinya tidak sama, malah ia melibatkan kanak-kanak.

"Kita sendiri dipesan agar jangan berada dalam kawasan yang sesak tetapi kanak-kanak pula bersesak di dalam kenderaan sekolah... konsep jarak sosial itu tidak dilaksanakan, malah tahap kebersihan pula tidak dapat dipastikan dan ini bagi saya punca yang akan merebakkan COVID-19 dan ini yang kita takuti," katanya. - BERNAMA