KUALA LUMPUR - “Di sekolah, pengetua, guru besar, guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mengingatkan pelajar supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan di televisyen di sini semalam.

Terdahulu, kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam susulan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) masih belum berakhir.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, perkara tersebut akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan sudah dimuktamadkan.

“Kerajaan menimbangkan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan perincian mengenainya akan dimaklumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners.

“Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa menasihatkan dan mengingatkan antara satu sama lain (memakai pelitup muka).

“Ibu bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah, jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut menyarankan majikan memantau pekerja dan mengingatkan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jelas Muhyiddin, pihaknya percaya sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, negara dapat melalui fasa PKPP dengan jayanya.

“Saya juga nak mengingatkan ketua kampung, imam dan ketua komuniti supaya jaga komuniti masing-masing.

“Ketua kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa, misalnya, boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk masing-masing,” katanya.

Jelas beliau, negara baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan, yang mana ekonomi kembali rancak dan rakyat dapat menikmati semula kehidupan harian dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

Beliau berkata, kesan positif dapat dilihat daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Menurutnya, ekonomi negara juga mula rancak kembali dan rakyat dapat menikmati semula kehidupan dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

“Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik Covid-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita istiqamah dalam mengekalkan kejayaan melawan wabak Covid-19.

“Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia,” katanya.