KUALA LUMPUR - Murid Tahun Satu hingga Tahun Empat mula menyambung sesi persekolahan mereka yang tertangguh kira-kira empat bulan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) semalam dan rata-rata ibu bapa dilihat menitikberatkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika sibuk menguruskan anak masing-masing ke sekolah.

Tinjauan mendapati ibu bapa memang gembira kerana anak-anak mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah namun pada masa sama masih ada perasaan bimbang dan khuatir mengenai keselamatan anak-anak mereka daripada ancaman Covid-19.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim yang melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya 9 (1) pada jam 7.30 pagi berpuas hati dengan pengendalian tatacara kehadiran dan proses pembelajaran di sekolah berkenaan dalam suasana kebia­saan baharu.

Guru Besar SK Putrajaya 9 (1), Norzah Mohd Kassim yang mengiringi lawatan Dr Habibah berkata, pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan menyediakan kod bar untuk setiap murid bagi tujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan mereka.

Sementara itu, di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani ketika membuat tinjauan ke SK Pusat Chabang Tiga, Terengganu berkata, seramai 84,114 murid Tahun Satu hingga Tahun Empat di 352 sekolah rendah selain seramai 1,070 murid di empat sekolah swasta memulakan persekolahan semalam.

“Keseluruhannya, tinjauan saya ke beberapa sekolah pagi ini (semalam) mendapati pematuhan SOP adalah sangat baik. Cuma berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan sekolah kerana masih ramai ibu bapa yang menunggu anak mereka masuk ke dalam kelas. Kita berharap ini hanya berlaku pada hari pertama sekolah,” katanya.

Di KEDAH, Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, seramai 122,902 murid Tahun Satu hingga Empat memulakan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing semalam.

“Secara keseluruhan seramai 186,401 murid Tahun Satu hingga Enam di Kedah telah kembali ke sekolah selepas lebih empat bulan sekolah ditutup,” katanya selepas melawat SK Tunku Abdul Rahman Putra, Padang Terap semalam.

Di PERAK, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, seramai 130,713 murid Tahun Satu hingga Empat di negeri itu memulakan sesi persekolahan mereka.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, perjalanan permulaan sesi persekolahan semalam berjalan lancar dengan murid mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan guru-guru juga banyak memberikan kerjasama sepanjang sesi persekolahan.

“Seramai 69,734 murid Tahun Satu hingga Empat yang melibatkan 352 sekolah memulakan sesi persekolahan pada hari ini (semalam),” katanya selepas mengadakan lawatan ke sekolah murid Orang Asli di SK Tekir, Labu.

Di SELANGOR, Pengarah Pendidikan Selangor, Izmi Ismail berkata, seramai 357,166 murid Tahun Satu hingga Empat kembali memulakan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing semalam melibatkan 17,429 kelas di 662 sekolah kebangsaan.

Di PERLIS, Exco Pendidi­kan negeri, Roziena Ahmad berkata, secara keseluruhan seramai 23,739 murid Tahun Satu hingga Enam di Perlis telah kembali ke sekolah setelah ia ditutup berikutan pendemik Covid-19 dan daripada jumlah itu, seramai 15,492 adalah murid Tahun Satu hingga Empat.

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan Pahang, Zaimi Abu Bakar ketika meninjau beberapa sekolah di Kuantan berkata, pematuhan SOP di sekolah-sekolah yang dilawatinya dilaksanakan dengan baik terutama dalam aspek penjarakkan so­sial.

Katanya, seramai 100,445 murid kelas pendidikan khas serta Tahun Satu hingga Empat di 542 sekolah di Pahang memulakan sesi persekolahan semalam.

Di MELAKA, seramai 57,328 murid Tahun Satu hingga Empat memulakan sesi persekolahan, kata Exco Pendidi­kan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi, Datuk Noor Effandi Ahmad.

“Keseluruhan 145,918 murid dan pelajar sekolah di seluruh negeri Melaka telah memulakan sesi persekolahan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Di JOHOR, Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari berkata, secara keseluruhannya seramai 575,144 murid di 1,187 sekolah menengah dan rendah menghadiri sesi persekolahan semalam.

Di PULAU PINANG, Penga­rah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, semua 272 sekolah rendah dan 127 sekolah menengah kini kembali beroperasi penuh apabila seramai 85,516 murid antara Tahun Satu dan Tahun Empat kembali ke sekolah semalam.

“Di setiap sekolah, seorang pegawai ditugaskan melaksanakan pemeriksaan mengejut secara rawak di sekolah berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Methodist Girls’ School semalam.

Di SABAH, seramai 195,663 murid Tahun Satu hingga Empat menyambung semula sesi persekolahan mereka yang tertangguh kira-kira empat bulan akibat penularan Covid-19.

Bernama