KUALA LUMPUR - Segala usaha dan kerja keras lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam Miri, Sarawak akhirnya membuahkan hasil selepas idea mereka mencipta alat yang boleh membantu memutuskan aliran arus elektrik hanya dengan sentuhan di hujung jari memenangi hadiah pertama dalam Anugerah Sentuhan Harapan-All About Youth (AAY) 2019 Chairman’s Circle Award, anjuran Yayasan Petronas, semalam.

Alat yang dinamakan Riam Xplug itu berfungsi dengan memberi amaran kepada pengguna untuk menanggalkan plag alat elektrik mereka menerusi aplikasi telefon pintar, sebelum memutuskan arus elektrik secara automatik.

Sebagai juara, lima pelajar itu berjaya membawa pulang hadiah utama RM30,000 dan peluang untuk mengkomersialkan projek mereka dengan sebuah syarikat sosial.

"Inovasi kami boleh digunakan dalam kehidupan harian, jadi di masa hadapan kami berharap agar dapat menampilkan generasi alat ini yang lebih menyeluruh, dan boleh berada di pasaran.

"Kita berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan mengurangkan penggunaan elektrik, jadi, daripada menanggalkan plag (secara manual), kini anda boleh menggunakan telefon pintar dengan memuat turun aplikasi Riam Aplug untuk mengawalnya,” kata ketua kumpulan pelajar itu Magdalena Suling Jalong, 16, kepada Bernama.

Sekolahnya adalah salah satu daripada lima pasukan finalis yang dihakimi berhubung inovasi, relevans, impak mampan dan kebolehan komersial projek, berdasarkan kepada kepada tema AAY2019 ‘Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Hadapan yang Lebih Baik’.

Sementara itu Muhammad Amir Hariz Mashuri, 16, dari SMK Tun Habab, Johor, yang amat meminati bidang elektronik memenangi Anugerah Remaja Terbaik dan membawa pulang hadiah wang RM3,000.

"Satu hari nanti saya ingin memiliki syarikat saya sendiri yang boleh membangunkan idea untuk inovasi, dan ini bukan penghujungnya, malah saya akan bawa idea-idea ke masa hadapan untuk menambah baik dan menaik tarafnya,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada idea pasukannya, PELTZ, yakni pendingin hawa yang tidak bergantung kepada ‘chlorofluorocarbon’ (CFC), akan memberi manfaat kepada alam sekitar di masa hadapan.

Tahun ini 50 sekolah dengan 1,000 pelajar mengambil bahagian dalam AAY2019 dalam usaha mencari penyelesaian berkaitan alam sekitar dan acara itu disokong oleh Kementerian Pendidikan, serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Turut hadir dalam program hari ini ialah Pengerusi Yayasan Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Lita Osman. - Bernama

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain