KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyegerakan pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bagi memberi hak kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memilih.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, SPR tidak seharusnya menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai penghalang kepada pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik itu.

"Jika ada kemahuan melaksanakannya, maka tiada alasan menghalangnya. Kami yakin dan percaya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh PKP bagi mengekang penularan COVID-19.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf.

Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK percaya individu berusia 18 tahun sudah mencapai kematangan kerana sebahagian daripada mereka menjadi mahasiswa dan ada yang bekerja.

Katanya, mereka yang berusia 18 tahun tertakluk di bawah peruntukan undang-undang sama dengan mereka berusia 21 tahun dan ke atas sekali gus menjadikan mereka sepatutnya layak untuk menjadi pemilih.

"Tambahan pula, usul ini juga mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sebelum ini yang membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan.

"Oleh itu, pelaksanaan ini perlu dipandang serius pihak berwajib khususnya SPR dan sebarang usaha untuk melengah-lengahkan usaha ini perlu ditolak," katanya.

Artikel menarik

24 pesara UniSZA diraikan pada Majlis Jasamu Dikenang

UMK dan UMB jalin kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan