KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap warga pendidik mampu menggalas tanggungjawab untuk membimbing pelajar dan generasi muda mengenai bahaya amalan rasuah serta salah guna kuasa kepada negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, kumpulan pendidik boleh bersama SPRM menjayakan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah).

Beliau berkata, Gerah adalah satu revolusi sosial untuk mencetus gelombang dan perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi jenayah berkenaan, khususnya di peringkat awal usia.

“Pendidik perlu memainkan peranan penting mendidik dan jadi contoh kepada pelajar supaya menolak, sekali gus membenci gejala rasuah yang mampu menjatuhkan imej serta martabat negara.

“SPRM akan terus memperkasakan usaha pencegahan rasuah, tetapi usaha itu bukan tanggungjawab SPRM semata-mata," katanya.

Menurut beliau, pendidik perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan masalah golongan muda terlibat rasuah dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Guru yang disambut di seluruh negara, semalam.