Seramai 51 orang pelajar cemerlang MRSM SPM 2018 daripada golongan keluarga miskin yang berpendapatan RM1,000 ke bawah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Pra Universiti yang melayakkan mereka melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara.

Kesemua pelajar MRSM ini memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2018 lalu dan ditawarkan bantuan pendidikan melalui program khas yang diwujudkan khusus untuk membantu pelajar dalam kalangan keluarga miskin. Pelajar-pelajar yang terpilih ini juga diberi peluang untuk mengikuti pengajian di dalam bidang pilihan masing-masing.

http://172.20.3.104:8080/polopoly/polopoly_fs/1.925003.1555048311!/image/image.jpg

Zuhaira Nasrin Zakaria, antara penerima pelajar cemerlang 2018.

Program yang julung kalinya diwujudkan pada tahun ini adalah komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat termiskin melalui pendidikan.

Usaha yang dilakukan ini adalah selaras dengan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar di bawah Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar dalam membantu golongan miskin luar bandar dan miskin bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, beliau yakin sekiranya pelajar dari keluarga termiskin ini diberikan dorongan, sudah pasti mereka mampu mencipta kejayaan. Ia secara tidak langsung membolehkan mereka menaik taraf kehidupan dan keluar dari kancah kemiskinan.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah pun menetapkan kuota kemasukan pelajar baharu B40 ke MRSM sebanyak 60 peratus. Pihak MARA berjaya mencapai pengisian pelajar dalam kalangan B40 sebanyak 67 peratus.

Beliau juga memaklumkan, MARA akan memastikan semua pengambilan pelajar ke peringkat tertiari dan lanjutan selepas ini akan memberikan fokus kepada golongan B40, sama ada ke institusi kemahiran di bawah MARA seperti GIATMARA, IKM, KKTM, MJII, GMI dan UniKL mahu pun institusi pendidikan profesional seperti Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Polytech MARA (KPTM) dan Kolej Universiti Polytech MARA (KUPTM).

http://172.20.3.104:8080/polopoly/polopoly_fs/1.925004.1555048343!/image/image.jpg

Abdul Aziz Mustaffa, berkongsi kegembiraan bersama ibunya

Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada golongan B40 bagi mendapat bantuan pinjaman pelajaran bagi mengikuti program-program pengajian yang disediakan oleh MARA.

Pada majlis sama,  turut disampaikan hadiah khas sebanyak RM 500 beserta komputer tablet kepada 51 pelajar yang terpilih. Hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

MARA turut memperkenalkan program terbaharu, World Top University (WTU) untuk  pelajar terbaik negara  mengikuti pengajian di 27 institusi terbaik dunia.

World’s Top University (WTU)

MARA telah memperkenalkan Program Penajaan MARA ke Universiti terbaik dunia. Ia terbuka untuk pelajar cemerlang yang telah mendapat tawaran untuk mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di Universiti Terbaik Dunia yang disenaraikan.

Objektif utama, adalah untuk melahirkan dan menambah bilangan bakal pemimpin, tokoh korporat dan profesional yang bertaraf dunia bagi menerajui agenda pembangunan negara.

Selain membuka peluang pelajar bumiputera cemerlang melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia dengan kemudahan pembelajaran yang kondusif secara langsung daripada pakar-pakar pendidik antarabangsa.

Syarat-syarat

  • Dikhususkan kepada pelajar yang telah ditawarkan mengikuti pengajian di Institusi pengajian terbaik dunia.
  • Pinjaman ini terbuka kepada pelajar yang akan dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.
  • Kelayakan pinjaman berdasarkan Sosio-Ekonomi Status (SES) keluarga yang berpendapatan tidak melebihi RM60,000 sebulan atau tidak melebihi RM600,000 pendapatan bercukai tahunan.
  • Pelajar juga perlu mengikuti proses pemilihan di mana ujian personaliti dan temuduga akan di adakan bersama pengurusan MARA termasuk Ahli Majlis MARA.
  • Penetapan universiti terbaik dunia berpandukan kepada QS World University Rankings yang dikeluarkan pada setiap tahun di mana kursus yang diikuti diiktiraf oleh Badan Pengiktirafan dan Badan Profesional Malaysia.

Senarai universiti terbaik dunia tahun 2019

  1. Massachusetts Institute of Technology (MIT) - USA    
  2. Stanford University - USA
  3. Harvard University - USA
  4. California Institute of Technology (Caltech) - USA
  5. University of Oxford -UK
  6. University of Cambridge -UK
  7.  Swiss Federal Institute of Technology Switzerland - ETH Zurich
  8.  Imperial College London - UK
  9.  University of Chicago - USA
  10.  University College London - UK
  11. National University of Singapore (NUS) - Singapura
  12.  Nanyang Technological University (NTU)    Singapura
  13.  Princeton University -USA
  14. Cornell University - USA
  15.  Yale University    - USA
  16. Columbia University -USA
  17.  Tsinghua University - China
  18.  University of Pennsylvania - USA
  19.  University of Michigan -    USA
  20.  The University of Tokyo - Japan
  21. Kyoto University - Japan
  22.  Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST) -Korea
  23. Seoul National University - Korea
  24. Technical University of Munich - Jerman
  25.  Ludwig-Maximillians- Universität München - Jerman
  26.  Lomonosov Moscow State University -Rusia
  27. Saint-Petersburg State University - Rusia

Sumber rujukan: QS World University Rankings 2019 (Feb 2019)