KUALA LUMPUR - Konsep kekeluargaan yang diterap di semua sekolah termasuk institusi tahfiz mampu mewujudkan komunikasi yang baik antara murid, guru dan ibu bapa sekaligus menghindari anak-anak daripada memendam rasa, menurut ahli akademik.

Pengetua sekolah Tinta Ustaz Muhamad Hafiz Mihzan berpendapat institusi kekeluargaan yang diwujudkan tidak kira sama ada sekolah bantuan kerajaan mahupun swasta mampu menjadikan anak-anak mudah meluah atau menjelaskan sesuatu perkara, pada masa yang sama mengekang gejala negatif seperti buli dan penderaan dalam kalangan pelajar.

"Masalah seperti buli berleluasa kerana tiada pencegahan dan langkah susulan yang efektif termasuk daripada mangsa sendiri. Anak-anak akan jadi ‘introvert’ (pendiam dan pemalu) dan ia bukan masalah genetik tetapi lebih kepada faktor persekitaran.

"Sebabnya bila dibuli dan tiada hubungan atau komunikasi yang baik antara kita dan anak, biasanya anak ini ‘hilang punca’,  tiada tempat untuk mereka luahkan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, di sini.

Selain itu, beliau berkata penguatkuasaan terhadap pusat tahfiz tidak berdaftar perlu diperhalusi dan dilaksanakan secara harmoni antara kerajaan persekutuan dan negeri agar ia dapat ditangani secara efektif.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Gains Education Group (Gains) Zaliza Alias berpendapat masyarakat perlu sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kepada sekolah termasuk pusat tahfiz untuk menyelamatkan anak-anak daripada menjadi mangsa buli dan pembuli.

Selain keprihatinan masyarakat, kebersamaan ibu bapa dalam mengikuti perkembangan tempat anak mereka menuntut ilmu sangat penting dan merupakan perkara utama yang harus dititikberatkan.

"’It takes a village to raise a child’. Seluruh masyarakat perlu bersama-sama menjadi mata dan telinga malah perlu lebih prihatian melihat keadaan sekeliling.

"Kebersamaan ibu bapa bersama pihak sekolah penting agar kita tahu apa yang berlaku di sekolah, kelas serta program yang dilaksanakan selain mengetahui apakah penambahbaikan yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Zaliza yang mempunyai pengalaman luas dalam pendidikan awal dan pembangunan kanak-kanak berkata kanak-kanak pada usia enam hingga tujuh tahun sedang melalui fasa perkembangan sosial dan emosi justeru terdedah kepada risiko bebanan emosi apabila ditempatkan di asrama mahupun pusat tahfiz.

Jelasnya, kanak-kanak pada peringkat awal usia itu belum mahir untuk memahami serta meluahkan sepenuhnya apa yang mereka rasa dan baru mula belajar tentang bagaimana mahu menggembirakan orang lain.

"Pada masa yang sama mereka akan salahkan diri sendiri sekiranya berlaku kesilapan kerana belum faham bagaimana hendak luahkan perasaan. Bahayanya ialah jika tiada bimbingan, mereka akan​​​ menanggung sendiri bebanan emosi,” jelasnya.

Selain itu, Zaliza berkata ibu bapa perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum memilih pusat tahfiz untuk mendaftarkan anak mereka antaranya keselamatan dan tidak hanya pada pembiayaan yang murah.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak ke institusi berkenaan semata-mata mengikut trend yang akhirnya membebankan anak-anak.

"Kadang-kadang hantar (anak-anak) ke pusat tahfiz atau mana-mana kerana ikut trend sebab suka bandingkan anak kita dengan orang lain. Umumnya ibu bapa suka bandingkan sesuatu dari sudut kuantitatif misalnya anak dapat berapa A, nombor berapa dalam kelas, juzuk berapa (hafaz) tetapi tidak pada kualiti (yang tidak boleh dilihat) seperti sahsiah diri dan akhlak”. - Bernama

Artikel Menarik:

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020

Panduan mengemas meja guru agar kemas dan tersusun - Boleh rujuk tip yang dikongsi rakan guru

Demi anak murid, guru wanita sanggup redah lumpur hingga terbalik