KUALA LUMPUR - Sebanyak 30,000 murid daripada keluarga B40 menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui program Ceria Ke Sekolah (CKS) 2021.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program kali ini melibatkan peruntukan RM3 juta membabitkan 208 kawasan terpilih di seluruh negara.

"Setakat ini, CKS 2021 telah dijalankan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Pahang melibatkan 19,923 pelajar membabitkan sumbangan bernilai RM2 juta. CKS 2021 kita beri sumbangan bernilai RM100 untuk seorang murid berbentuk kelengkapan sekolah seperti alat tulis, pakaian seragam, beg sekolah dan sebagainya.

"Bagi CKS Ibu Pejabat TNB, seramai 420 pelajar miskin terpilih dari tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, SK Bukit Pantai dan SK Bukit Bandaraya menerima sumbangan ini,” katanya kepada pemberita pada program Ceria Ke Sekolah (CKS) 2021, di sini hari ini.

Mahdzir berkata, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB sekali gus menunjukkan hubungan erat yang terjalin antara TNB dan masyarakat melalui program sedemikian.

"Program ini akan diteruskan pada tahun hadapan cuma kita syorkan tambah untuk anak-anak pekerja TNB yang dikendalikan Pelitawanis, sebuah pertubuhan isteri yang mana suami mereka adalah pekerja TNB.

"Sepanjang program ini dilaksanakan sejak 2013, ramai anak-anak telah menerima sumbangan iaitu seramai 36,018  pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM7.5 juta,” katanya.

Mengenai sumbangan TNB sepanjang pandemik COVID-19, Mahdzir berkata TNB telah memberikan sumbangan berjumlah RM280 juta kepada kerajaan dan hospital.

"Sebanyak RM250 juta kita serah kepada kerajaan manakala RM30 juta lagi kita bagi kepada hospital-hospital untuk mereka membeli kelengkapan berkaitan untuk digunakan sepanjang pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SK Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin berkata, sumbangan itu dapat membantu meringankan beban pelajar dari keluarga B40 khususnya ketika pandemik ini.

"Kita tahu ada ibu bapa yang kehilangan kerja dan sebagainya disebabkan pandemik ini, jadi sumbangan ini memang sedikit sebanyak dapat bantu ibu bapa dari golongan B40 yang dikategorikan sebagai miskin bandar dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka,” katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Tarikh pendaftaran pelajar Tingkatan 1 dan 4 Sekolah Khusus 6 April depan

Guru SK Lukut sanggup berhabis ribuan ringgit beli peralatan ICT untuk sesi PdPc