KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia memberi kesedaran kepada semua pihak agar mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko penularan virus berkenaan dapat diminimumkan untuk keselamatan semua terutamanya penumpang dan kakitangan yang bekerja dalam sektor pengangkutan awam di negara ini.

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan ADK Solution Sdn Bhd (ADK) meneroka peluang kerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang sanitasi awam menggunakan bahan pembasmi kuman iaitu Diaclean Pera Sterilant.

Diaclean Pera Sterilant terbukti berkesan dalam membunuh virus human coronavirus agar penyakit berjangkit Covid-19 dapat dibendung dan dikawal secara efektif mengikut tatacara pembersihan dan disinfeksi di tempat awam.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli, kerjasama itu memberi peluang UMP berkongsi kepakaran teknologi, nasihat teknikal dan konsultasi.

“Diaclean Pera Sterilant telah dihasilkan oleh teknologi tempatan sebagai pembasmi kuman organik kelas tinggi (HDL) oleh anak syarikat UMP iaitu UMP Renal Care Sdn Bhd yang merupakan pengeluar teknologi bahan aktif Asid Peracetik yang pertama di Malaysia.

"Pihak ADK pula menjalankan servis pencucian dan disinfeksi kapal-kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Beliau hadir mewakili UMP semasa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di KLIA baru-baru ini bersama Pengarah UMP Renal Care Sdn Bhd, Profesor Datuk Ts Dr Zularisam Ab Wahid manakala ADK pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Shaiful Amri Md Aris dan Pengarah Urusan Kumpulan ADK, Datuk Adam Khan Omar Khan.

Menurut Shaiful Amri, Diaclean Pera Sterilant telah diuji pakai ke atas beberapa buah pesawat penumpang dan kargo selain telah diterima baik penggunaannya oleh beberapa syarikat penerbangan.

“Hasil aplikasi tersebut amat membanggakan dan ia terbukti berkesan dalam mencegah dan mengawal daripada berlakunya sebarang penularan penyakit Covid-19 sama ada di Malaysia mahupun ke negara di mana pesawat penumpang atau kargo tersebut mendarat.

“Kami juga turut menjalankan servis nyah cemar di beberapa pesawat penumpang, pesawat kargo, bahagian logistik barangan, gudang dan pejabat-pejabat operasi penerbangan,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Zularisam berkata, Diaclean Pera Sterilant mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan United Environmental Protection Agency (USEPA) sebagai bahan aktif yang mampu membunuh virus Covid-19.

“Ia merupakan pembasmi kuman organik berasaskan cuka makanan keluaran tempatan pertama di Malaysia yang telah mendapat pensijilan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Halal Jakim.

“Selain bersifat mesra alam dan mudah terbiodegradasi, tidak menghakis dan tidak merengsakan, ia terbukti mampu membunuh virus human coronavirus dalam masa kurang daripada dua minit oleh makmal pengujian antarabangsa iaitu Viroxy Lab.

“Diaclean Pera Sterilant adalah mesra pengguna dan  mesra alam serta sesuai digunakan bagi tujuan sanitasi awam seperti  di kawasan perumahan, kedai makanan, sekolah, taska, pejabat kerajaan dan swasta, pusat pengajian tinggi, kilang, rumah ibadat dan pesawat kapal terbang penumpang serta kargo dalam industri penerbangan di KLIA,” ujarnya.

Menerusi hasil kerjasama itu juga, beliau berkata pihaknya berhasrat melebarkan penggunaan Diaclean Pera Strilant dalam industri rel transit penumpang seperti Perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT), perkhidmatan monorel dan komuter serta melibatkan industri pengangkutan awam lain seperti  teksi, feri dan bas yang berpotensi untuk diterokai.

“Selain berfungsi sebagai pembasmi kuman permukaan, Diaclean Pera Sterilant juga sangat sesuai digunakan sebagai bahan disinfeksi di industri penternakan, perladangan, pensterilan alatan perubatan, tenusu dan rawatan air dan air sisa,” kata beliau.

Artikel menarik

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti

UMK julung kali tersenarai dalam kedudukan 801-1,000 penarafan THE Impact Ranking