KUALA LUMPUR - Jalinan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Kumpulan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bakal memperkasakan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara ini dengan pelaksanaan Program Sarjana Muda Teknologi (Mod Industri Perantisan).

Program yang menggunakan model pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan di negara ini dan berkonsepkan "Earn & Learn" itu, julung kali diperkenalkan di Malaysia.

Ia bakal menjadi penanda aras terhadap pengajian lain dalam menerapkan elemen Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) yang menggabungkan teknologi automasi dengan teknologi siber.

Program yang mendapat kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) itu juga selaras dengan matlamat penubuhan Majlis TVET serta menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkasakan graduan TVET negara.

Program ini dibangunkan khusus oleh UMP dengan sumber bakat Perodua mengikuti pengajaran dan pembelajaran di lapangan tempat mereka bekerja dengan pendekatan pembelajaran berasaskan Project Oriented Problem Based Learning (POPBL), di mana pelajar bekerja seperti biasa sambil melengkapkan kurikulum pengajian melalui projek dan penilaian berasaskan portfolio dan ujian cabaran (challenge test).

Pada masa yang sama, ahli akademik UMP boleh meningkatkan pengalaman dan kemahiran mereka melalui pendedahan sebenar dan praktis di industri khususnya Perodua serta boleh menjalankan penyelidikan bersama antara universiti dan industri.

Menurut Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff , Mod Industri Perantisan berkonsepkan Earn & Learn itu bakal meningkatkan motivasi pekerja industri untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan baharu yang menyumbang kepada pembangunan produktiviti syarikat dan negara.

“Kerjasama strategik ini akan memberi tumpuan terhadap peningkatan sumber kepakaran pekerja Kumpulan PERODUA daripada pelbagai lapisan. Mereka berpeluang meningkatkan tahap akademik dengan mengikuti pengajian di lapangan dengan masa yang bersesuaian tanpa perlu meninggalkan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka,” katanya semasa berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan Perodua , baru-baru ini.

Majlis pemetraian MoU disempurnakan oleh Dr Wan Azhar dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Pengerusi UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman; Presiden Lembaga Teknologis Malaysia, Datuk Ir Ts Dr Hamisah Tapsir; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Mohd Sharil Abdullah.

Dr Wan Azhar berkata, pendekatan melalui pembelajaran berasaskan POPBL itu mampu memastikan pekerja industri mendapat pendedahan daripada kemahiran menyelia (supervisory skill) kepada kemahiran mengurus (managerial skill) dengan penekanan elemen pintar perniagaan (business savvy).

“Pelaksanaan kerjasama strategik ini akan dilaksanakan pihak UMP Advanced iaitu anak syarikat UMP yang akan mengurus dan memantau program berdasarkan kepada piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Teknologis Malaysia dan Senat Universiti.

"Sebagai salah satu daripada rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN), UMP juga komited dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang kompeten bertaraf antarabangsa. Kolaborasi ini menjadikan program yang bakal ditawarkan amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara kini dalam mendepani cabaran IR4.0 serta melengkapkan ekosistem pendidikan TVET di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Zainal Abidin pula berkata, MoU itu amat bermakna kepada Perodua kerana ia menyumbang dalam penambahbaikan sistem pendidikan tinggi negara terutama dalam  bidang industri automotif.

"Selain itu, PERODUA juga telah melaksanakan inisiatif sendiri menerusi Program Latihan Remaja Perodua sejak 1999 dan sehingga kini lebih 3,000 pelajar yang kebanyakannya telah diserap bekerja di syarikat ini.

"Kami percaya pendidikan TVET ini mempunyai prospek yang amat luas serta memberi kesan positif kepada ekosistem automotif negara serta industri-industri lain dan mengharapkan program ini dapat meningkatkan kemahiran dan taraf pendidikan warga Perodua," kata beliau.

Artikel menarik

'Kamu pakai dah cantik, tapi lagi cantik kalau pakai tudung sekolah. Kenapa tak pakai?'

'Saya ingat emak bergurau' - Anak terkejut ibu hadiahkan nanas ketika konvokesyen USIM