KUALA LUMPUR - Malaysian Institute of Information Technology (MIIT) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terpilih mewakili Malaysia dalam dua pertandingan keselamatan siber peringkat antarabangsa.

Dua pasukan universiti itu diwakili lapan mahasiswa ke pertandingan Cyber SEA Game 2019 dan ASEAN Student Contest in Information Security (ASCIS) 2019 akan berlepas ke Bangkok dan Hanoi, Vietnam, semalam.

Presiden UniKL, Prof Datuk  Dr Mazliham Mohd Su'ud berharap pasukan MIIT, UniKL mampu mengharumkan nama negara.

“Atas pelbagai pencapaian terbaik yang pernah diraih oleh MIIT, UniKL, saya berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada masa akan datang.

Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud

"Buat dua pasukan yang membawa nama UniKL dan Malaysia ke Bangkok dan Hanoi, Vietnam, moga  kejayaan dan kecemerlangan diberkati oleh ALLAH SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera dalam Pertandingan Keselamatan Siber peringkat antarabangsa ASCIS 2019.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Presiden Kerjasama Antarabangsa, Perindustrian dan Institusi UniKL, Prof Datuk Dr Azanam Shah Hashim, Dekan MIIT, Prof Madya Dr Zaluzah Awang Long, Timbalan Dekan Akademik dan Teknologi, Ts Dr Mohd Nizam Husen.

Pemilihan mahasiswa berdasarkan prestasi cemerlang UniKL dalam pertandingan Cyber Combat 2019 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan juga beberapa siri pertandingan keselamatan siber yang berlangsung sepanjang tahun ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud menyerahkan bendera UniKL kepada ketua pasukan, Amirul Badzlin Badrul Hisham, yang akan berlepas ke Bangkok Thailand hari ini

Cyber SEA Game 2019 yang bakal berlangsung 20 hingga 22 November ini merupakan pertandingan berformat Capture the Flag (CTF) terbuka kepada mahasiswa dan jurutera yang berusia 30 tahun ke bawah dari seluruh negara ASEAN.

Sementara itu, ASCIS 2019 yang bakal bermula 28 hingga 30 November ini adalah pertandingan menggodam komputer berformat CTF disasarkan kepada pelajar dan mahasiswa universiti negara ASEAN.

Lapan mahasiswa yang terpilih ialah Amirul Badzlin Badrul Hisham; Mohd Ridhwan Mohd Salleh dan Syarif Fahim Sulaiman.

Turut terpilih, Nor Ada I Kamal Mohamad Nasir; Mohd Redza Izudin Abu Zaharin; Tengku Ahmad Faizul Tengku Ahmad Kamil; Wan Muhammad Helmi Wan Ismail dan Muhammad Aliff Muazzam Jaafar.

Dua pensyarah pengiring yang turut serta ialah Ts Norhaiza Ya Abdullah dan Herny Ramadhani Mohd Husny Hamid.

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020