KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata laporan kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi dibuat bapa mangsa di Balai Polis Bangi, awal pagi semalam.

"Mangsa kali terakhir dilihat bermain di taman permainan di rumahnya pada Isnin, kira-kira  6 petang. Ini merupakan kejadian kali pertama mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar permohonan Nur Alert untuk membuat hebahan dan makluman bagi mengesan mangsa.

"Makluman juga dipanjangkan kepada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk hebahan kepada anggota bertugas membuat rondaan,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan.

Semalam, Bernama melaporkan Muhammad Zahiruddin Putra hilang selepas keluar dari rumahnya untuk bermain pada kira-kira 8 pagi semalam.

Ibu mangsa Sainih Sunding, 46, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu tidak ke sekolah semalam dan keluar untuk bermain dengan rakan. - Bernama