KUALA LUMPUR - Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin mengetuai delegasi USIM dalam satu pertemuan bersama Duta Amerika Syarikat Kuala Lumpur, Ambassador Brian McFeeters di Restoran Serai, KL East Mall, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut turut dihadiri delegasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diketuai Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak bagi membincangkan program kerjasama bertemakan kelestarian alam.

Manakala delegasi USIM dihadiri Pengarah Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar dan Pensyarah Fakulti Syariah Undang-undang, Dr Norfadhilah Mohamad Ali.

Program yang dinamakan Pledge Campaign: Youth Action Sustainability Society itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur, USIM, UIAM dan Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights.

Penglibatan EcoKnights dalam projek ini mampu memberikan aspirasi kepada para belia untuk menimba pengalaman daripada badan bukan kerajaan yang mendekati generasi muda supaya lebih bersemangat dalam memulihara alam sekitar.   

Program akan memberi fokus kepada pembinaan kapasiti belia dalam libat sama masyarakat, pengayaan ilmu berkaitan alam sekitar dan kerjasama pintar dengan badan-badan luar dalam usaha memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan kelestarian.

Pledge Campaign: Youth Action Sustainability Society bakal dirasmikan 23 April depan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia (Earth Day 2021) dan mengambil ibrah bulan Ramadan untuk menganjurkan amalan baik dan penghayatan bersama tentang manusia sebagai khalifah yang diamanahkan sentiasa melakukan kebaikan di muka bumi.

Pelbagai aktiviti telah direncanakan bagi menjayakan projek ini, termasuklah penganugerahan pembiayaan kepada projek alam sekitar terbaik yang dicadangkan oleh peserta.

Program ini akan melibatkan pelajar USIM dan UIAM khususnya, dan terbuka kepada pelajar-pelajar lain yang berminat untuk membuat pernyataan komitmen (pledge) mengenai sumbangan mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

Pernyataan komitmen ini akan dimuat naik dalam laman web khas projek yang akan dilancarkan.

Artikel menarik

'Iman satu-satunya anak perempuan saya' - Ibu sebak anak dapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh

Ini skop tugas Pembimbing Rakan Sebaya di sekolah, ada 16 kesemuanya!